suria

Terengganu Intai Jurulatih Korea Bagi Hadapi Liga Hoki Kebangsaan

KUALA TERENGGANU: Terengganu mengintai seorang jurulatih Korea Selatan untuk membantu mempersiapkan pasukan negeri buat julung kali menyertai Kejohanan Hoki Liga Kebangsaan, bulan depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Zainal Abidin Hussin berkata, pengambilan khidmat jurulatih asing itu bertujuan memastikan Terengganu mampu menonjol pada saingan liga bermula 22 Mac hingga 12 Mei ini.

"Kami berharap Persatuan Hoki Terengganu segera mengenal pasti calon jurulatih berkenaan memandangkan kesuntukan masa bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap," katanya kepada Bernama selepas majlis pelepasan konvoi berbasikal sempena Le Tour de Langkawi (LTdL), di Taman Awam, Batu Buruk, di sini, Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pemain negara Shahrul Nabil Abdullah adalah antara 10 pemain luar Terengganu yang disenaraikan dalam skuad pasukan negeri.

Selain itu, katanya, Terengganu menyenarai Mohamad Fikri Shaari dan Mohd Hazrul Faiz Ahmad Sobri, masing-masing dari Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) untuk menyertai pasukan negeri.

Beliau berkata, tujuh lagi pemain adalah daripada pasukan kelab Sapura dan KLHC di mana mereka akan menandatangani kontrak tidak lama lagi.

Zainal Abidin berkata, Terengganu telah mengenal pasti 15 pemain lain, semuanya anak Terengganu untuk memperkukuhkan lagi pasukan terdiri daripada pemain Piala Razak dan pasukan Sukma Terengganu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain