suria

Azlan Curah Pengalaman Melalui AISA

PENGALAMAN sebagai bekas pemain dunia skuasy tidak disia-siakan Azlan Iskandar selepas mengambil keputusan bersara dengan menubuhkan Akademi Skuasy Azlan Iskandar (AISA) sejak 2011.

Dengan meletakkan objektif untuk melahirkan lebih ramai pemain-pemain muda ke peringkat yang lebih tinggi, Azlan turut membuktikan bahawa sukan ini sebenarnya mempunyai ramai yang berbakat.

Ini terbukti apabila AISA mempunyai lima pusat yang terletak di Kemaman, Terengganu, Kuching, Miri dan Bau di Sarawak, dan Seremban 2, Negeri Sembilan.

Malah dijangka akan turut dibuka lima lagi akademi di Johor, Pahang, Kelantan, Melaka dan Terengganu.

Hingga kini, AISA mempunyai 500 pelajar di empat pusat AISA dan kebanyakan mereka, mempunyai potensi untuk diketengahkan sebagai pemain negara.

“Melalui pertandingan kecil yang kerap kali diadakan, bakat-bakat dari pelajar yang berumur 17 hingga 25 tahun ini dapat dikembangkan untuk menjadi pemain profesional,” jelas bekas pemain kelahiran Sarawak ini.

Azlan, 31, pernah berada dalam kelompok sepuluh terbaik dunia berkata, impak yang dilihat sejak AISA ditubuhkan ialah kebanyakan gelanggang yang selama ini bersifat gajah putih, mula dikunjungi.

“Apabila pemain mula serius bermain skuasy termasuk terdapatnya pertandingan, saya lihat semua gelanggang yang dibina, digunakan sepenuhnya,” jelasnya.

Azlan juga menjelaskan, terdapat tiga peringkat yang ditumpukan oleh akademi tersebut di mana ia akan di lakukan secara berperingkat.

“Peringkat pertama dan kedua akan memberi fokus kepada kawasan atau negeri yang mempunyai pemain yang berpotensi.

“Menerusi program yang disediakan, pihak akademi akan berusaha mencungkil bakat pemain melalui kejohanan serta perlawanan yang diadakan setiap minggu atau bulan,” ujarnya.

Untuk peringkat ketiga, AISA akan mempeluaskan program kendalian mereka di seluruh negara.

Selain itu, bagi menarik lebih ramai penyertaan, hampir 40 kejohanan telah diatur untuk disertai pemain terutama kepada mereka yang tidak mampu bertanding di peringkat kebangsaan.

“Antaranya ialah CIMB Junior Circuit yang dianjurkan oleh SRAM. Mereka bukan saja bertanding dalam sirkit tersebut malah mampu menjadikannya sebagai platform untuk menjadi pemain profesional.

“Secara tidak langsung, mereka akan didedahkan kepada sistem pertandingan dengan lebih baik.

“Bukan itu saja, tajaan hadiah kemenangan yang bernilai RM30,000 bagi keseluruhan kejohanan juga dilihat mampu menarik para pemain untuk berlatih bersungguh-sungguh dan memenangi perlawanan yang disertai,” kata Azlan.

Mengenai aspek kejurulatihan, bekas pemain kebangsaan itu menjelaskan mereka mempunyai barisan jurulatih yang berkaliber.

“Kami mempunyai beberapa jurulatih yang juga bekas pemain skuasy kebangsaan.

" Dengan tajaan dan sokongan daripada pelbagai pihak, AISA kini mengendalikan latihan sebanyak enam kali seminggu dan semuanya berjalan dengan baik,” tambah juara Terbuka Malaysia 2010 itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain