suria

Harap Tahun 2013 Lebih Cemerlang : Hafizh

KUALA LUMPUR: Kejayaan pelumba wildcard Moto2 Hafizh Syahrin Abdullah meraih tempat keempat pada perlumbaan Motosikal Grand Prix Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang tahun lalu telah menjadikannya lebih matang bagi mengharungi perlumbaan tahun ini.

Menurut Hafizh yang bakal meneruskan latihan di Sepanyol, dia yakin dengan pendedahan dan sokongan Petronas Motosports mampu merealisasikan impiannya untuk bergelar pelumba dunia.

Pun begitu, dia mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki.

"Saya perlukan lebih banyak pendedahan untuk bersaing dengan pelumba-pelumba lain.

"Dengan tempoh yang ada sekarang, saya akan cuba melakukan persiapan sebaiknya dan akan mula menjalani latihan di Sepanyol Mac ini,"katanya kepada mStar Online selepas majlis Pengenalan Pelumba Program Pembangunan Bakat Petronas, Rabu.

Hafizh,19, memulakan kariernya sebagai pelumba dengan Pocket Bike sebelum menyertai perlumbaan Cub Prix.

Sebelum diberi peluang mencuba jentera Moto2 secara wildcard pada tahun 2011, Hafizh merupakan juara Piala Yamaha Asean 2008, juara kategori Novice Kejuaraan Petronas AAM Malaysia Cub Prix 2010 dan juara kategori CP 130 dalam kejuaraan yang sama dua tahun lalu.

Tahun lalu, Hafizh mula menyertai perlumbaan CEV Buckler (Kejuaraan Kebangsaan Sepanyo) dan hanya menamatkan kedudukan keenam keseluruhan.

"CEV Buckler akan bermula pusingan pertama pada April ini di Catalunya.

"Selepas beraksi buat kali pertama tahun lalu, saya yakin tahun ini mampu melakukan yang lebih baik.

"Saya menyasarkan untuk berada di tempat ketiga keseluruhannya," tambahnya lagi.

Hafizh juga turut menyasarkan untuk menyertai MotoGP pada tahun 2014.

Sementara itu, Petronas Motorsports turut mengumumkan barisan pelumba -pelumbanya tahun ini melalui Program Pembangunan Bakat.

Selain Hafizh yang turut berada dalam senarai program tersebut ialah Jazeman Jaafar, Ramdan Rosli, Farique Hairuman, Dominic Ang, Melvin Moh, Afiq Ikhwan Yazid dan Nabil Jefri.

"Kami yakin dengan kejayaan yang dicapai pada tahun 2012, diharap lebih banyak lagi akan berlaku pada tahun 2013.

"Kami di Petronas amat berbangga dengan adanya bakat-bakat ini," jelas Pengarah Urusan Petronas Motorsports, Anita Azrina Abdul Aziz.

Artikel Sebelum

Ramdan Tekad Pamer Aksi Terbaik

Artikel Berikut

Artikel Lain