suria

FAM Arah Pengadil Ikut Prosedur Ketika Disoal Siasat SPRM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan arahan agar pengadil mematuhi prosedur yang ditetapkan badan induk bola sepak negara itu apabila disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas tamat perlawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata pengadil berkenaan perlu mengambil butiran nama dan nombor telefon pegawai SPRM terbabit, dengan disertai seorang saksi bagi mengelak individu menyamar pegawai pihak berkuasa itu.

"Saya harap dengan prosedur baharu ini, perkara memalukan membabitkan pengadil disoal siasat individu tidak dikenali di Stadium Muhammad IV, Kota Baharu ketika perlawanan Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) pada 15 Jan lalu tidak berulang," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Dalam kejadian pada malam 15 Jan lepas, pegawai SPRM terbabit memasuki bilik persalinan pengadil di stadium berkenaan selepas 10 minit perlawanan tamat dan berada dalam bilik itu kira-kira 20 minit dipercayai bagi mendapatkan keterangan daripada pengadil dari Terengganu itu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah sebenar pegawai SPRM yang menjalankan siasatan itu.

Dalam laporan akhbar semalam, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad dilaporkan sebagai berkata bahawa seorang pegawai tinggi SPRM yang dihubungi kelmarin mengesahkan Ibu Pejabat SPRM tidak menghantar pegawai ketika perlawanan di antara Kelantan dengan JDT pada hari berkenaan.

Sementara itu, SPRM mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu di ibu pejabatnya di Putrajaya semalam, namun belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan. Difahamkan, SPRM akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu pada Rabu.

Mengulas lanjut, Astaman berkata mengikut prosedur Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pengadil dan pegawai pertandingan tidak boleh 'diganggu' mana-mana individu dalam tempoh bertenang iaitu selama 25 minit di bilik yang dikunci sebaik tamat perlawanan.

"Diharap apa yang berlaku di Kota Baharu itu tidak berulang kerana ia akan mengelirukan banyak pihak dan menjadi satu pengajaran kepada pengadil kita agar lebih berhati-hati," katanya.

Astaman berkata beliau telah menghantar laporan penuh mengenai perkara itu kepada Jawatankuasa Kerja FAM, namun tidak mengemukakannya kepada SPRM kerana tidak diminta oleh badan pencegah rasuah itu.

"Sekiranya ada arahan daripada SPRM, saya akan hantar laporan itu," katanya.

Ditanya mengenai laporan sebuah akhbar hari ini bahawa pegawai SPRM terbabit adalah daripada pejabat SPRM cawangan Kota Baharu, beliau enggan mengulas sebelum menerima pengesahan rasmi daripada ibu pejabat SPRM di Putrajaya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ramdan Tekad Pamer Aksi Terbaik

Artikel Berikut

Artikel Lain