suria

Kelantan Atasi Selangor 1-0

KUALA LUMPUR: Kelantan membawa kelebihan tipis untuk aksi timbal balik kedua Jumaat depan selepas hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu Jumaat malam.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada separuh masa pertama sebaik sahaja pengadil perlawanan Yusof Mat Karim meniupkan wisel permainan, namun gagal membolosi benteng pertahanan masing-masing.

Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan meneruskan asakan dan hasilnya, Kelantan berjaya menjaringkan gol menerusi pemain tengah Norfarhan Muhammad pada minit ke-62.

Gol tersebut berpunca daripada Norfarhan, yang membawa bola dari tengah padang dan menggelecek beberapa pemain pertahanan Selangor, sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kiri untuk menewaskan penjaga gol Selangor Norazlan Razali.

Dua minit kemudian, Selangor terpaksa bermain dengan 10 orang selepas pemain pertahanan Mohd Nasriq Baharom dilayangkan kad merah oleh Yusof kerana melakukan terjahan keras ke atas pemain Kelantan Nurul Azwan Roya.

Selangor berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-77 menerusi sepakan percuma kapten pasukan Safiq Rahim, namun ia hanya sedikit melewati pintu gol Kelantan, yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

Keputusan itu kekal sehingga tiupan wisel terakhir Yusof untuk memberi kelebihan tipis kepada Kelantan menjelang aksi separuh akhir kedua, yang dijadual berlangsung pada 12 Okt ini di Stadium Shah Alam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain