suria

TSG Dinaikkan Status Kepada Pasukan Continental Tahun Depan

KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) mendapatkan suntikan semangat apabila bakal dinaikkan taraf status Pro Continental tahun depan, kata ketua pegawai eksekutifnya, Hadi Hasan.

Beliau berkata, kenaikan status pasukan benua itu adalah berikutan pencapaian gelaran juara benua dengan mengumpul 500 mata sepanjang penyertaan dalam pelbagai kejohanan tahun lepas.

"Pada kejohanan tahun depan, TSG berazam untuk mengekalkan kejuaraan itu sekali lagi," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Beliau berkata, sesuai dengan kenaikan status itu juga TSG, yang ditubuhkan tahun lepas itu, akan menambah jumlah pelumba daripada 12 orang kepada 14 orang seperti yang disyaratkan.

Hadi berkata, pasukan itu juga sedang mencari beberapa pelumba baru dari dalam atau luar negara bagi persediaan menghadapi jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

"Usaha ini termasuk meninjau pelumba-pelumba pada kejohanan berbasikal tempatan antaranya Kejohanan Berbasikal Terbuka Perlis yang sedang berlangsung sekarang.

"Di sana banyak pasukan daripada luar negara mengambil bahagian dan kalau kita nampak ada (pelumba) yang bagus, kita akan pertimbangkan untuk diberi tawaran menyertai pasukan kita," katanya.

Hadi berkata, dalam memilih pelumba terbaik, TSG akan membuat penilaian berdasarkan jumlah markah yang telah diperolehi pelumba itu tahun ini juga tahun sebelumnya dalam kejohanan berbasikal di dalam serta luar negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain