suria

CIMB Foundation-COBRA Sokong Kejohanan Ragbi KGV 10's

PETALING JAYA: Edisi ke-7 kejohanan ragbi yang dianjurkan oleh Sekolah Menangah King George V (SMKGV) menyaksikan kelainan apabila buat pertama kalinya CIMB Foundation dan COBRA bakal menjalinkan kerjasama dengan penganjur bagi memeriahkan acara tahunan ini.

Presiden COBRA, Tommy Pereira berkata, pihaknya bersama CIMB Foundation telah sedia maklum mengenai kejohanan ini, malah turut melihat ia sesuatu yang positif dalam perkembangan sukan ragbi tanah air.

"Ia boleh juga dianggap sebagai medan untuk mencari bakat-bakat baru di peringkat sekolah seluruh negara yang datang berkumpul di SMKGV.

"Malah kejohanan ini juga menjadi salah satu tempat untuk pemain-pemain bawah 16 tahun serta 14 tahun menunjukkan bakat masing-masing kerana kita sendiri sudah mengadakan pertandingan peringkat bawah 19 tahun serta bawah 20 tahun.

"Sejak 2006, SMKGV telah menganjurkan kejohanan ini secara persendirian, dan tahun ini kami berbesar hati untuk bergabung bersama bagi menjadikan kejohanan ini lebih mantap.

"Saya berharap untuk tahun-tahun akan datang, pihak penganjur juga mampu membuka penyertaan ini kepada sekolah-sekolah di luar negara," katanya kepada mStar Online selepas sidang media Kejohanan Ragbi CIMB Foundation-COBRA-KGV 10's 2012, Rabu.

Sementara itu, kejohanan yang bakal berlangsung pada 22 hingga 23 September ini di Padang SMK King George V, Seremban akan menyaksikan penglibatan 64 pasukan daripada 45 buah sekolah seluruh semenanjung.

Kejohanan yang dibahagikan kepada dua kategori ini, bawah 16 dan 14 akan beraksi secara liga satu pusingan dan dibahagikan kepada lapan kumpulan setiap kategori.

Pasukan yang menjuarai kategori masing-masing bakal membawa balik wang tunai RM1,000, medal, sijil serta cenderamata.

Naib johan pula akan menerima wang tunai RM600, piala iringan, sijil ,medal dan cenderamata manakala tempat ketiga dan ke-4 bakal menerima sijil dan medal.

Pada aksi tahun lalu, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESSMA), Kuala Terengganu muncul juara bagi kategori bawah 14 tahun, manakala Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) muncul juara bagi kategori bawah 16 tahun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain