suria

Atlet Jerman, Steffen Thum Pilihan Juarai LIMBC 2012

KUALA LUMPUR: Juara keseluruhan siri perlumbaan basikal bukit dunia UCI MTB 2011-2012, Steffen Thum diramal menggegarkan Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 2012 yang dijadual dari 15 hingga 20 Oktober ini.

Atlet Jerman itu dan rakan senegaranya Simon Gegenheimer yang menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan maraton siri dunia, membentuk pasukan Ultra Sports Rose Racing dilihat berpotensi mencabar kedudukan juara bertahan Karl Platt dan atlet Olimpik Burry Stander untuk kedudukan teratas.

Thum, 28, dan Gegenheimer, 23, teruja untuk menamatkan musim ini di Langkawi.

"Menamatkan musim di antara tempat terindah di dunia menggembirakan pasukan kami dan kami merancang untuk menikmati seksaan, kesakitan dan keindahan LIMBC," kata Thum dalam kenyataan, di sini Selasa.

Thum merupakan pelumba paling konsisten pada siri maraton itu dengan menamatkan saingan dalam kelompok 25 teratas pada setiap perlumbaan.

Beliau berjaya mengatasi jalan berbatu siri dunia di tangga ke-12 di Ornans, Perancis, ke-12 di Roc d'Azur, Perancis tahun lepas dan kedua di Lovran, Croatia baru-baru ini sebelum dimahkotakan sebagai pelumba nombor satu.

Gegenheimer yang beranking keenam dunia dan antara pelumba pecut terbaik pada siri Piala Dunia, juga dijangka meninggalkan kesan tersendiri pada LIMBC 2012 ini.

Edisi tahun ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$124,000 (RM400,000) dan dibuka kepada empat kategori iaitu Terbuka Lelaki (19-39 tahun), Terbuka Wanita (19 tahun ke atas), Masters Lelaki (40 hingga 49 tahun) dan Senior Masters Lelaki (50 tahun ke atas).

LIMBC 2012 akan bermula pada 15 Oktober dengan prolog - acara percubaan masa lelaki dengan jarak 2.4 km di Dataran Lang diikuti perlumbaan Peringkat 1 dengan jarak 65 km, Peringkat 2 (45 km) dan Peringkat 3 (87 km Maraton Langkawi).

Peringkat 4 ialah perlumbaan merentas desa jarak Olimpik, diikuti Peringkat 5 iaitu pusingan finale mengelilingi litar pendek di Pantai Kok.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain