suria

Penghormatan Negeri Untuk Pandelela

KUCHING: Pemenang pingat gangsa Olimpik, Pandelela Rinong Pamg, dianugerah bintang negeri di atas kejayaannya itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini Selasa dengan diberi sambutan sebagai seorang srikandi.

Pandelela, 19, yang diiringi ibu bapanya dan dua orang peserta Olimpik lain dari Sarawak, Bryan Nickson Lomas dan Traisy Vivien Tukiet, menjadi atlet tempatan pertama dianugerah bintang Johan Kenyalang (JBK) oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di satu upacara penyampaian anugerah di Astana Negeri, Petra Jaya, di sini.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud semasa berucap di upacara tersebut berkata, sebagai gadis pertama pemenang pingat di Olimpik, kerajaan negeri juga mengumumkan satu insentif istimewa kepada jagoan terjun itu berupa biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran selama empat tahun di Australia dengan pilihan tumpuan kepada bidang jurulatih renang atau pengajian tertiari.

Beliau berkata, kebajikan keluarga penerjun wanita itu yang berasal dari Kampung Jugan di Bau dekat sini juga akan dijaga terutama sekali oleh kerajaan persekutuan.

Semasa mengucapkan terima kasih di atas anugerah kerajaan Sarawak kepadanya, Pandelela berkata, keutamaannya buat masa sekarang ialah meneruskan program latihan tetapi beliau mungkin menimbang tawaran biasiswa itu oleh kerana tidak menyertai sebarang kejohanan sehinggalah di tahun hadapan.

"Saya berasa bangga dan ingin mengucap terima kasih kepada Tun kerana memberi kehormatan ini kepada saya, yang juga satu kebanggaan kepada keluarga saya dan semua warga Bidayuh," kata Pandelela.

Gadis Bidayuh ini berkata, beliau berasa lebih gementar ketika menerima anugerah itu daripada semasa melakukan terjunan yang membawa kemenangan pingat gangsa dalam acara platform 10 meter di Sukan Olimpik 2012 di London.

Terdahulu, semasa tiba di Astana Negeri menaiki sebuah Mini Cooper terbuka atlet itu diiringi konvoi motosikal bersama menteri-menteri negeri dari lapangan terbang melalui pusat bandar raya termasuk Kuching Waterfront, yang dibanjiri orang ramai yang melihat mereka.

Sebaik tiba di lapangan terbang, Pandelela dikerumuni kira-kira 1,000 peminatnya, pembesar negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Pembangunan Masyarakat, Tan Sri William Mawan dan Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh, Ik Pahon Joyik.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Datuk Seri Michael Manyin berkata, Pandalela bukan sahaja menjadi kebanggaan komunitinya bahkan juga negeri dan seluruh negara sebagai ikon memberangsangkan belia lain supaya memperoleh kejayaan besar.

Mempunyai dua orang anak lain termasuk abangnya Pardika Indoma, yang juga atlet terjun kebangsaan, bapanya, Pamg Joheng berkata, beliau berasa bangga atas kejayaan anak gadisnya itu yang menerima anugerah pada Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain