suria

Zamri, Azlan Cari Rentak Pada Perlumbaan All Japan MFJ

Azlan (kiri) dan Zamri bakal menyertai perlumbaan di Jepun hujung minggu ini.
Azlan (kiri) dan Zamri bakal menyertai perlumbaan di Jepun hujung minggu ini.
Azlan (kiri) dan Zamri bakal menyertai perlumbaan di Jepun hujung minggu ini.

PELUMBA Malaysia, Mohd Zamri Baba dan Azlan Shah Kamaruzaman mengorbankan kemeriahan sambutan Aidilfitri apabila bakal ke Jepun untuk menyertai Pusingan 6 Kejuaraan All Japan MFJ di Sportsland Sugo, pada 25 dan 26 Ogos ini.

Kedua-duanya akan menyertai perlumbaan ST600 sebagai medan latihan bagi memantapkan aksi mereka di pentas Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) dimana mereka merupakan antara pelumba pilihan untuk merebut mahkota SuperSports 600cc.

Zamri yang mewakili PETRONAS Hong Leong Yamaha berjaya meraih gelaran juara pertama ARRC musim 2012 di Zhuhai (Pusingan 3) kini menghuni tangga ketiga dalam senarai keseluruhan dengan 100 mata, 13 mata di belakang pendahulu, Ryuichi Kiyonari manakala juara bertahan, Katsuaki Fujiwara kedua, 110 mata. Sementara itu, Azlan Shah Kamaruzaman yang membawa cabaran MUSASHi Boon Siew Honda Racing di tangga keempat, 76 mata.

"Dari segi jarak tunggangan dan pengalaman di atas litar, saya masih jauh ketinggalan berbanding Kiyonari dan Fujiwara.

"Kedua-duanya sudah lama beraksi di peringkat dunia. Itu sebabnya saya mengambil keputusan sanggup untuk mengorbankan Hari Raya dan berlumba di Sugo.

"Saya perlukan lebih banyak pengalaman dan pendedahan bagi meningkatkan prestasi saya pada perlumbaan ARRC akan datang," Zamri menjelaskan tentang penyertaannya di Kejuaraan All Japan minggu ini," katanya.

Begitu juga dengan Azlan yang mengakui dia perlu mempamerkan aksi lebih baik bagi merapatkan jurang mata dengan pencabar diatasnya. Namun pada masa sama dia tetap optimis masih mempunyai masa yang cukup bagi mengubah kedudukan ketika ini.

"Segalanya tidak begitu menjadi sewaktu di Zhuhai. Kami menjangkakan mampu untuk menaiki podium pada kedua-dua perlumbaan namun gagal. Ini menyebabkan jurang mata saya semakin jauh ketinggalan di belakang.

"Mudah-mudahan ia akan berubah selepas perlumbaan di Sugo minggu ini. Kami berharap momentum bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik di Jepun dapat di bawa ke Pusingan 4 ARRC di Autopolis dan dapat merapatkan jurang dengan pendahulu.

"Kami masih mempunyai masa secukupnya kerana masih terdapat enam perlumbaan pada baki tiga pusingan ARRC," kata Azlan yang akan memacu jentera CBR600RR pada perlumbaan minggu ini," jelas Azlan.

Ini merupakan penyertaan pertama Azlan dalam Kejuaraan All Japan manakala kedua buat Zamri selepas menyertai buat kali pertama di Litar Motegi pada Mac lalu.

Artikel Lain