suria

22 Atlet Galas Cabaran Malaysia Di Sukan Paralimpik London

KUALA LUMPUR: Seramai 22 atlet akan menggalas cabaran negara pada temasya sukan terbesar atlet kelainan upaya, Sukan Paralimpik London pada 29 Ogos hingga 9 September depan.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Zainal Abu Zarin berkata bilangan itu bertambah berbanding 11 atlet yang bertanding pada Sukan Paralimpik di Beijing 2008.

"Jumlah ini akan bertambah dua atau tiga orang lagi jika badan induk dunia sukan tenis berkerusi roda, olahraga dan renang membuat ketetapan. Kita akan tunggu sehingga 18 Jun ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan untuk Sukan Paralimpik London di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Selasa.

Menurutnya daripada jumlah itu, seramai 19 daripadanya melayakkan diri secara merit manakala selebihnya adalah melalui slot 'bipartite'.

"Mereka akan mengambil bahagian dalam 28 acara sukan daripada lapan jenis sukan. Jika pada 18 Jun ini kita dapat lagi kelayakan atlet, Malaysia akan mengambil bahagian dalam sembilan jenis sukan," katanya.

Pada mesyuarat berkenaan, Zainal turut mengumumkan Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong sebagai ketua kontinjen negara ke Sukan Paralimpik London.

Acara olahraga menyaksikan tujuh atlet, lima lelaki dan dua wanita, melayakkan diri secara merit.

Mereka ialah Mohd Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Mohamad Saifuddin Ishak (lompat jauh F13), Eryanto Bahtiar (lompat kijang dan lompat jauh F46), Adderin Majurin (lempar cakera F33), Faridul Masri (lontar lembing F56) serta Nur Suhana Ramlan (lontar peluru F20)dan Hemala Devi Eni Kuty (lempar cakera dan lontar peluru F12).

Turut melayakkan diri secara merit ialah Koh Zhi Liang (ping-pong), P. Mariappan (powerlifting), Zul Amirul Sidi Abdullah dan Jamery Siga (renang), Abdul Rahman Razali (lawan pedang), Mohd Khairul Hazwan Wahab (berbasikal), Hasihin Sanawi, Zulkifli Mat Zin dan Mohd Zafi Rahman Mat Saleh (memanah) serta Al Mustakim Matrin dan Nurul Amilin Balawi (pelayaran).

Sementara itu, Pengarah Cawangan Paralimpik MSN Mohd Safrusahar Yusuf berkata peningkatan atlet yang melayakkan diri ke Sukan Paralimpik kali ini adalah berdasarkan program pembangunan atlet elit paralimpik untuk tempoh empat tahun yang bermula sebaik sahaja Sukan Paralimpik Beijing 2008 berakhir.

"Jenis dan acara sukan yang disertai pada Sukan Paralimpik London juga bertambah. Sebelum ini di Beijing, kita hanya sertai lima jenis sukan sahaja.

"Program atlet elit secara bersepadu itu perlu dilakukan awal kerana sebelum ini tidak ada latihan berpusat untuk mereka. Kita perlu melatih atlet secara sistematik memandangkan atlet kelainan upaya tidak mempunyai banyak kejohanan besar seperti atlet normal," katanya.

Menurutnya kebanyakan atlet elit paralimpik kini berpusat di MSN.

Untuk rekod, pada penyertaan di Sukan Paralimpik Beijing, Siow Lee Chan menjadi pemenang pingat tunggal bagi kontinjen negara dengan meraih pingat gangsa dalam acara powerlifting wanita bawah 56kg.

Pada temasya Sukan Paralimpik Athens, Greece pada 2004, Malaysia menghantar seramai 19 atlet. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain