suria

Bibiana Ng Cipta Rekod Kebangsaan Baharu Acara 25m Pistol Individu Wanita

PETALING JAYA: Penembak elit kebangsaan Bibiana Ng Pei Chin mencipta rekod kebangsaan yang baharu menerusi acara 25m pistol wanita individu pada hari kedua Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-36 di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang di sini.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel New Delhi 2010 itu mengumpul 583 mata, satu mata mengatasi rekod terdahulu yang diciptanya sendiri dalam satu kejohanan menembak empat tahun lepas.

Penembak Myanmar Lay Zar Zar Hlaing Myint dan penembak Vietnam Le Thi Hoang Ngoc, masing-masing meraih pingat perak serta gangsa selepas mengumpul 572 dan 571 mata.

Bibiana sekali lagi mempamer bidikan cemerlang bersama dua lagi penembak kebangsaan Wahidah Ismail dan Ishvari Jahnava dalam acara berpasukan wanita dengan mengumpul 1,712 mata keseluruhan bagi menghadiahkan emas kedua untuk skuad negara.

Trio Myanmar memenangi pingat perak selepas mengumpul 1,692 mata manakala gangsa menjadi milik trio Singapura dengan 1,683 mata.

Bibiana, yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah, jelas tidak dapat menyembunyikan perasaan bangga kerana dapat memecahkan rekod sendiri.

"Saya tidak menyangka dapat memecahkan rekod kebangsaan milik saya sendiri dan saya sangat gembira kerana dapat mencapai sasaran peribadi pada kali ini," katanya.

Beliau berkata tumpuannya selepas ini ialah menyertai kejohanan menembak tempatan yang bakal berlangsung di sini dua minggu lagi.

"Bagaimanapun, saya belum mendapat kata putus daripada Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai penyertaan saya dalam kejohanan menembak antarabangsa," katanya.

Gadis berusia 34 tahun dari Kuching, Sarawak itu, yang bakal menyertai beberapa lagi acara dalam kejohanan menembak, turut menyasarkan menambah kutipan pingat emas untuk skuad negara.

Keputusan Penuh Hari Kedua Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-36:

Lelaki: 10m Air Rifle Individu: EMAS : Mohd Hadafi Jaafar (MAS) 584 mata PERAK : Ong Jun Hong (SIN) 584 mata (dibezakan dengan konsistensi bidikan) GANGSA : Lee Yue Man (HKG) 582 mata

10m Air Rifle Berpasukan: EMAS : Singapura 1,748 mata PERAK : Filipina 1,744 mata GANGSA : Vietnam 1,736 mata

10m Air Rifle Individu Remaja: EMAS : Chen Chun-An (TPE) 593 mata PERAK : Jeremiah Wong Hon Wei(SIN) 583 mata GANGSA : Razi Aizat Adzha (MAS) 580 mata

10m Air Rifle Berpasukan Remaja: EMAS : Taiwan 1,765 mata PERAK : Singapura 1,727 mata GANGSA : Malaysia 1,722 mata

50m Pistol Individu: EMAS : Lin Yao (HKG) 554 mata PERAK : Tran Quoc Cuong (VIE) 553 mata GANGSA : Poh Lip Meng (SIN) 552 mata

50m Pistol Berpasukan: EMAS : Vietnam 1,632 mata PERAK : Myanmar 1,622 mata GANGSA : Hong Kong 1,621 mata

50m Pistol Individu Remaja: EMAS : S. Suresh (MAS) 530 mata PERAK : To Yan Tuyen (VIE) 527 mata GANGSA: Vatanyootaweewat Thany (THA) 447 mata

50m Pistol Berpasukan Remaja: EMAS : Malaysia 1,577 mata PERAK : Vietnam 1,563 mata GANGSA: Tiada pemenang Wanita:

25m Pistol Individu: EMAS : Bibiana Ng Pei Chin (MAS) 583 mata PERAK : Lay Zar Zar Hlaing Myint (MYA) 572 mata GANGSA : Le Thi Hoang Ngoc (Vie) 571 mata

25m Pistol Berpasukan: EMAS : Malaysia 1,712 mata PERAK : Myanmar 1,692 mata GANGSA : Singapura 1,683 mata

25m Pistol Individu Remaja: EMAS : Alia Sazana Azahari (MAS) 581 mata PERAK : Nguyen Thi Hoa (VIE) 547 mata GANGSA : Op-Ormkul Onamol (THA) 512 mata

25m Pistol Berpasukan Remaja: EMAS : Malaysia 1,684 mata PERAK : Vietnam 1,628 mata GANGSA : Tiada pemenang - BERNAMA

Artikel Lain