suria

Azizah Buat Kejutan Jadi Atlet Pelapis Pertama Ke London

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya Azizah Fadzil dari skuad pelapis angkat berat kebangsaan membuat kejutan apabila menjadi atlet pelapis pertama menggalas cabaran negara ke Temasya Sukan Olimpik London pada Julai nanti.

Azizah, 21, mengambil bahagian dalam kategori wanita berat badan 53kg layak secara merit setelah berjaya menempatkan diri di kedudukan lima teratas pada Kejohanan Kelayakan Zon Asia berlangsung di Pyeongtaek, Korea Selatan pada April lepas.

Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Zafarul Akhbar Kassim berkata atlet kelahiran Pulau Pinang itu berjaya melakar sejarahnya sendiri apabila menjadi atlet angkat berat wanita pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik.

"Walaupun berdepan dengan kesuntukan masa PABM cuba mengatur program latihan yang sesuai bagi memastikan Azizah bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut," katanya.

Zafarul berkata PABM bercadang menghantar Azizah menjalani latihan di China dan masih menunggu kelulusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana pihak persatuan tidak mempunyai dana mencukupi bagi menampung kos tersebut.

Beliau berharap pihak MSN segera meluluskan permohonan tersebut bagi memastikan Azizah mendapat latihan secukupnya menjelang 50 hari lagi bermulanya Sukan Olimpik London.

"Kita tidak meletakkan sasaran yang tinggi kepada Azizah kerana risau ia akan memberi tekanan kepada beliau yang pertama kali beraksi di peringkat Olimpik," katanya.

Beliau berkata sekiranya Azizah berjaya menempatkan diri ke kelompok 15 terbaik ia telah dikira sebagai satu permulaan yang baik.

Sementara itu, beliau berkata PABM juga kini giat berusaha untuk mendapat slot wildcard bagi atlet lelaki.

"Kita sedang berusaha memujuk Persatuan Angkat Berat Asia bagi memberi satu slot wildcard untuk atlet lelaki," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain