suria

Amir Mustafa Harap Terpilih Wakili Negara Ke Sukan Olimpik

KUALA LUMPUR: Biarpun namanya kurang diperkatakan oleh media, semangat dan keinginan Amir Mustafa Rusli untuk membawa cabaran negara pada Sukan Olimpik terus membakar dalam dirinya.

Sebelum ini, ada cakap-cakap Mohamad Adiq Hussainie Othman dan Mohd Harrif Salleh akan dipilih ke Olimpik, namun pakar pendakian berusia 25 tahun dari Dungun, Terengganu itu terus meletakkan harapan dan mendoakan semoga namanya dipilih untuk mengisi dua slot pelumba basikal lebuh raya negara.

"Sememangnya saya harap dapat mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik kerana ia adalah temasya sukan terbesar dunia. Pasukan saya (Drapac Professional Cycling) juga mahu saya beraksi di Olimpik mewakili Malaysia," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Belgium.

Amir Mustafa adalah antara lima pelumba acara lebuh raya negara yang disenarai pendek oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk mengisi dua slot yang diperuntukkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Selain Amir Mustafa, PKBM turut menyenaraikan Mohd Zamri Salleh dan adiknya Mohd Harrif daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) serta Mohamad Adiq Hussainie Othman dan Anuar Manan daripada pasukan Champion System.

"Perlumbaan di Sukan Olimpik agak sukar kerana ia mengumpulkan ramai pelumba terbaik dunia. Jika saya dipilih, saya akan berusaha memberi saingan yang sewajarnya. Saya sudah bersedia untuk beraksi di sana.

"Di Sukan Olimpik, kita (Malaysia) hanya diwakili dua pelumba sahaja berbanding negara lain dengan empat pelumba. Kena kerah kudrat sendiri untuk bersaing," katanya.

Menurut Amir Mustafa, bersama-sama pasukan dari Australia, Drapac Professional Cycling, beliau banyak menyertai perlumbaan di Eropah khususnya di Belgium, Perancis dan Belanda.

"Sekarang saya banyak perlumbaan di Belgium. Kebanyakan perlumbaan yang saya sertai itu berstatus pro kermesse yang mana jarak laluan ialah 200km.

"Di sini perlumbaan berbeza dengan di Asia mahupun di Australia. Saya banyak belajar daripada perlumbaan-perlumbaan ini," kata Amir Mustafa.

"Corak laluan perlumbaan semasa Sukan Olimpik juga berbukit dengan jarak lebih 200km. Jadi, setiap perlumbaan yang saya sertai sedikit sebanyak membantu saya membuat persiapan," tambahnya.

Kategori lelaki bagi acara berbasikal lebuh raya pada Olimpik London akan melibatkan 145 pelumba dengan jarak kayuhan 250km, termasuk sembilan pusingan loop kawasan berbukit di Box Hill.

Sementara itu, PKBM hanya akan mengumumkan nama dua pelumba yang akan menggalas cabaran negara pada 15 Jun ini selepas mendapat laporan prestasi daripada ketua jurulatih, John Beasley.

Penyertaan Malaysia dalam acara berbasikal lebuh raya Sukan Olimpik itu adalah untuk kali kedua selepas edisi 1972 di Munich, Jerman. - BERNAMA

Artikel Lain