suria

Whitney Rampas Gelaran Milao Dari Kelly Dengan Satu Pukulan

KUALA LUMPUR: Pemain Australia Whitney Hillier menepati statusnya sebagai pilihan utama apabila muncul juara Kejohanan Golf Terbuka Wanita Amatur Malaysia (MLAO) ke-29 di sini, Khamis.

Pada pusingan akhir di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara, dekat sini, Whitney melakarkan pencapaian cemerlang enam bawah par 65 untuk mengumpul jumlah keseluruhan lima bawah par 208.

Catatan tersebut membolehkan Whitney mengetepikan juara bertahan Kelly Tan dari Malaysia dengan kelebihan satu pukulan. "Ini merupakan satu minggu yang benar-benar menakjubkan. Saya hanya keluar ke lapangan tanpa sebarang jangkaan.

"Saya memang gembira dengan cara permainan saya dan menjadi juara merupakan satu bonus besar," kata Whitney, yang merangkul kejuaraan amatur ketiga tahun ini selepas Terbuka Lake Macquarie dan Piala Wanita Riverdale di Australia.

"Pukulan putt lebih mantap dan corak permainan meningkat dari hari ke hari dan kemuncaknya adalah hari ini apabila semangat saya begitu membara," katanya. Kelly pula kecewa pada permulaan sembilan lubang termasuk tiga bogey dan satu birdie dan prestasinya semakin merudum pada sembilan lubang terakhir. "Saya tidak tahu Whitney kejar sehingga lubang ke-15 dan selepas itu terasa tertekan," kata Kelly yang melakukan bogey pada lubang ke-16 dan Whitney melakukan pukulan birdie pada lubang ke-17.

Selepas permulaan baik pada dua pusingan sebelum itu, Kelly menamatkan saingan pusingan akhir dengan tiga atas par 74 untuk mengumpul jumlah empat bawah 209.

"Ini menyakitkan kerana saya kalah dengan margin tipis tetapi jika saya mengambil sesuatu daripada kejohanan ini, ia adalah satu pengajaran bahawa saya harus memainkan setiap pukulan seolah-olah ia adalah yang terakhir," katanya.

KEPUTUSAN AKHIR:

(NOTA: Semua pemain Malaysia kecuali dinyatakan)

208 - Whitney Hillier (AUS) 68-75-65; 209 - Kelly Tan 68-67-74; 211 - Dottie Ardina (PHI) 68-75-68; 212 - Princess Superal (PHI) 71-67-74; 213 - Aretha Pan 71-69-73; 214 - Savitree Thavong (THA) 71-70-73; 217 - Suthavee Chanachai (THA) 73-71-73; 219 - Sitarnat Singhanart (THA) 73-75-71, Koh Sock Hwee (SIN) 74-72-73, Vani Sanjeev Kapoor (IND) 73-70-76. -BERNAMA

Artikel Lain