suria

Syafiqah Sedia Galas Cabaran Memanah Sukan Olimpik London

KUALA TERENGGANU: Status sebagai atlet termuda untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik London ternyata sedikit mendebarkan Nur Shafiqah Hashim, 18, untuk menggalas cabaran itu.

Bagaimanapun beliau tetap bertekad untuk memberi sepenuh tumpuan selain menempatkan diri dalam kedudukan terbaik dalam kalangan pemanah seluruh dunia di temasya sukan dunia Julai nanti.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kompleks Seberang Takir itu berkata dia akan melakukan yang terbaik bagi menggalas misi negara serta tidak akan mensia-siakan peluang yang ada.

Katanya menyedari saingan yang bakal ditempuh pada kejohanan itu nanti, beliau akan menyiapkan fizikal dan mental yang secukupnya untuk bersaing bersama para atlet yang nyata lebih berpengalaman dan senior daripadanya.

"Memandangkan saya masih muda dan usia saya seperti baru mahu menanam, belum lagi mengeluarkan benihnya berbanding orang lain yang sudah berpengalaman dan lebih tua dalam sukan memanah.

"Saya berada dalam kelompok elit pun baru setahun. Malah, saya belum mendapat banyak ilmu dan pengalaman sebagaimana atlet senior yang lain," katanya.

Menurut pemenang pingat gangsa di Sukan Sea Indonesia menerusi gandingan dengan Cheng Chu Sian itu, tidak mahu terlalu yakin dan enggan meletakkan sasaran pingat berikutan penyertaan pertama kali di sukan dunia nanti lebih kepada mahu mencari pengalaman dan memperbaiki pencapaian untuk masa depan.

Nur Shafiqah layak beraksi pada Olimpik 2012 secara merit selepas meraih kedudukan ketiga menerusi acara recurve individu di Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran, Iran.

Sementara itu ibu Nur Shafiqah, Norzana Abd Rahim, 42, berkata dia tidak menduga daripada hanya mewakili sekolah, akhirnya dalam usia yang masih mentah anak sulung daripada empat beradik yang berkarektor pendiam itu berjaya melayakkan diri ke Olimpik London 2012.

"Saya sangkakan dia hanya (main) biasa-biasa sahaja...tidak sangka terus ke tahap ini mewakili Malaysia. Langsung tidak pernah menduga, tidak pernah bermimpi Shafiqah mampu melangkah begini jauh.

"Walaupun saya tidak bersamanya di London nanti, saya tetap mendoakan Shafiqah dapat melakukan yang terbaik dan mengharumkan nama negara serta Terengganu yang sudah banyak berjasa dan bertanggungjawab mengetengahkan bakatnya sehingga ke pentas dunia," katanya.

Selain Nur Shafiqah, seorang lagi pemanah dari Terengganu Khairul Anuar Mohamad dan dua pemanah lain, Chu Sian serta Haziq Kamaruddin melayakkan diri ke Olimpik. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain