suria

Stadium Nasional Bukit Jalil Venue Perlawanan Akhir Piala FA

PETALING JAYA: Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi venue perlawanan akhir Piala FA antara Sime Darby, pasukan berstatus kelab, dan Kelantan pada 19 Mei.

Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA yang bermesyuarat pada Khamis.

Pengerusinya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata stadium yang boleh memuatkan sehingga 100,000 penonton itu dipilih selepas Stadium Shah Alam yang dicadangkan sebelum ini tidak boleh digunakan kerana masalah teknikal.

"Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai venue perlawanan akhir bagi memudahkan kehadiran penyokong kedua-dua pasukan pada hari perlawanan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini.

Hamidin, yang juga Naib Presiden FAM, berkata 30,000 keping tiket berharga RM40 untuk semua tempat duduk dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun diagihkan kepada kedua-dua pasukan itu mulai hari ini (Khamis).

"Tiket perlawanan akhir oleh kedua-dua pasukan akan mula dijual pada Isnin (14 Mei) dan terpulang kepada mereka untuk menentukan cara dan tempat penjualan tiket.

"Mereka harus memulangkan kepada FAM tiket-tiket yang gagal dijual sebelum tengah hari Jumaat ini kerana kita akan menjualnya pada pagi hari perlawanan nanti," kata Hamidin.

Dalam pada itu, DSP Mohd Dali Wahid daripada Bahagian Trafik Bukit Aman yang hadir pada mesyuarat itu berkata 2,000 anggota keselamatan akan ditugaskan untuk mengawal trafik pada hari perlawanan.

Penyokong kedua-dua pasukan dinasihat untuk tidak membawa bahan larangan ke dalam stadium seperti mercun, bunga api dan senjata tajam.

Pemantauan akan dibuat di kaunter jualan tiket serta di sekitar stadium bagi membanteras penjualan tiket secara haram oleh ulat tiket.

Pada majlis itu, FAM turut memperkenalkan buat julung kali Piala FA yang baharu bernilai hampir RM80,000.

Sime Darby mencipta sejarah apabila muncul kelab bola sepak pertama menempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA manakala Kelantan, yang merupakan naib juara Piala FA musim lepas, akan mencuba nasib di pentas final buat kali ketiga.

Skuad Kijang tumpas 1-4 menerusi sepakan penalti kepada Selangor pada 2009 selepas terikat 1-1 pada masa penuh permainan, dan kalah 1-2 kepada Terengganu tahun lepas di Stadium Nasional Bukit Jalil. - BERNAMA

Artikel Lain