suria

Tekanan Memang Terasa Untuk Sumbang Pingat Emas Pertama Negara- Chong Wei

NEW DELHI: Sukan Olimpik 2012 di London Julai depan bakal menjadi medan terakhir bagi jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan beliau menyasarkan untuk menyumbang pingat emas pertama negara pada temasya terbesar dunia itu.

Ditanya sama ada beliau merasakan tekanan, Chong Wei berkata sebagai pemain nombor satu dunia beliau memang terasa tekanan untuk menyumbangkan pingat kepada negara.

"Saya tahu bahawa saya membawa impian ramai rakyat Malaysia untuk menyumbangkan pingat emas pertama buat negara. Saya harap dapat melakukannya untuk negara dan rakyat Malaysia," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing itu mendedahkan bahawa laluan untuk mengecap kejayaan pada Sukan Olimpik London bukan mudah kerana setiap perlawanan pastinya sengit.

Chong Wei berkata China mempunyai tiga pemain yang hebat iaitu Lin Dan, Chen Long dan Chen Jin, yang mampu menyekat matlamatnya pada temasya itu.

"Apabila anda adalah pilihan utama, pastinya ada tekanan pada setiap perlawanan. Saya sudah biasa untuk berdepan dengan situasi itu," kata jaguh negara itu.

Walaupun mengalami kekalahan mengejut kepada bintang muda Korea Selatan Shon Wan Ho pada Kejohanan Terbuka India minggu lepas, Chong Wei berkata beliau tidak gusar dengan keadaan itu.

"Masih ada tiga bulan lagi untuk saya membuat persiapan menjelang Sukan Olimpik London dan saya mempunyai peluang yang cerah untuk menang. "Tidak mengapa (kekalahan di Terbuka India) kerana ini adalah perlawanan pertama saya selepas pulih daripada kecederaan bahu," katanya.

Kejohanan Terbuka India merupakan kejohanan utama yang disertai Chong Wei sejak beliau mengalami kecederaan bahu semasa perlawanan akhir Kejohanan Badminton All England di Wembley, Mac lepas.

Sebelum beraksi pada Sukan Olimpik London, Chong Wei akan membawa cabaran negara di pusingan akhir Piala Thomas dari 20 hingga 27 Mei dan Kejohanan Siri Super Premier Indonesia dari 12 hingga 17 Jun.

Sementara itu, jurulatih beregu lelaki negara, Pang Cheh Chang berkata pemain muda negara perlu belajar untuk memikul tanggungjawab, yang kini digalas oleh Chong Wei.

"Itulah perbezaan antara Chong Wei dan pemain muda. Pemain pelapis (juga) perlu belajar tentang perwatakan beliau" katanya. Pang berkata kekurangan yang ada pada Chong Wei ialah beliau tidak mempunyai rakan pelatih negara yang setanding dengannya, tidak seperti pemain China, Lin Dan yang mempunyai rakan senegara yang mempunyai standard hampir sama di kalangan mereka.

Beliau berkata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan jurulatih boleh melaksanakan kerja keras tetapi ia masih bergantung kepada keinginan pemain pelapis itu sendiri untuk mencapai cita-cita mereka.

Pang merasakan jika Chong Wei memutuskan untuk bersara selepas Sukan Olimpik, setakat ini tiada pemain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu.

"Ia semua bergantung kepada sejauh mana pemain (junior) mahu terus maju dalam karier mereka," katanya.

Mengenai beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Pang berkata pasangan utama negara itu memerlukan lebih motivasi. "Mereka perlu diberi lebih motivasi kerana mereka akan berdepan lapan pasangan terbaik dunia pada Sukan Olimpik London," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain