suria

Anggota Kontinjen Negara Ke Olimpik London Dijangka Meningkat

KUALA LUMPUR: Bilangan anggota kontinjen negara ke Sukan Olimpik di London Julai depan dijangka bertambah selepas beberapa badan induk sukan dunia bersetuju menawarkan slot, masing-masing dalam acara olahraga, renang, kapal layar dan angkat berat, kepada atlet Malaysia.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata tawaran yang akan diterima dalam masa terdekat itu ialah bagi melengkapkan kuota penyertaan negara pada temasya sukan berprestij itu nanti.

"MOM akan membuat rayuan kepada Persekutuan Tinju Dunia (WBF) untuk membolehkan kita menghantar seorang wakil ke Olimpik," katanya kepada pemberita di satu majlis di sini, Khamis.

Setakat ini seramai 23 atlet negara layak beraksi di sukan Olimpik di London.

Sieh berkata bilangan sebenar atlet negara ke temasya sukan terbesar dunia itu hanya akan ditentukan MOM selepas mesyuarat khas dengan semua persatuan sukan yang mempunyai wakil ke Olimpik hujung bulan ini.

"Kita yakin bilangan kali ini sekurang-kurangnya mampu menyamai 33 atlet seperti jumlah atlet negara yang bertanding di Sukan Olimpik Beijing pada 2008," katanya. Penyertaan terbesar kontinjen negara ialah pada Sukan Olimpik di Tokyo 1964 iaitu 66 orang.

Ditanya mengenai sasaran awal MOM untuk kontinjen negara pada Olimpik London, Sieh berkata pihaknya menyandarkan harapan kepada atlet empat acara sukan iaitu badminton, berbasikal, memanah dan terjun. -BERNAMA

Artikel Lain