suria

AFC Setuju Terengganu-Song Liam Adakan Perlawanan Waktu Malam

KUALA TERENGGANU: Perlawanan pusingan kedua Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) antara Terengganu dan Song Lam Nghe An dari Vietnam di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini Rabu ini akan bermula pukul 8.45 malam.

Mengumumkan demikian, Setiausaha Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Abdullah Salleh berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh AFC.

Abdullah berkata, mengikut jadual sebelum ini, perlawanan itu akan berlangsung di stadium berkenaan pada pukul 4.45 petang hari berkenaan.

"Kita telah memohon kepada AFC untuk bermain pada waktu malam atas beberapa sebab dan badan induk bola sepak Asia itu bersetuju dengan alasan yang kita berikan," katanya kepada Bernama.

Abdullah berkata, beliau yakin ramai peminat dan penyokong bola sepak Terengganu akan datang beramai-ramai menyaksikan perlawanan itu berikutan perubahan masa perlawanan tersebut.

"Lagipun, kalau kita adakan perlawanan waktu malam, peminat dan penyokong Terengganu dapat menyaksikan perlawanan dalam keadaan selesa berbanding sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, peluang Terengganu untuk melangkah ke pusingan kedua Piala AFC cerah sekiranya berjaya memenangi perlawanan itu nanti.

Terengganu yang ditempatkan dalam kumpulan F ketika ini memperoleh enam mata hasil daripada dua kali menang dan dua kali kalah.

Kumpulan itu terdiri daripada Terengganu, Song Lam Nghe An (Vietnam), Kitchee (Hong Kong) dan Tampines Rovers (Singapura). - BERNAMA

Artikel Lain