suria

Annuar Musa Diadili Jawatankuasa Tatatertib FAM Esok

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap mengadakan perbicaraan terhadap timbalan presidennya Tan Sri Annuar Musa di Wisma FAM esok (Rabu) walaupun ada desakan daripada sesetengah pihak supaya ia ditangguhkan.

Pengerusi jawatankuasa itu Datuk Taufik Abdul Razak berkata perbicaraan itu hanya akan ditangguhkan jika diarahkan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM.

"Setakat ini, kita tidak menerima arahan daripada Jawatankuasa Eksekutif (FAM) untuk menangguhkan perbicaraan ini...jadi ia akan diteruskan seperti biasa," katanya.

Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Persatuan Anak-anak Kelantan Darul Naim Malaysia (Pakatan Darulnaim) semalam dilaporkan telah memohon kepada FAM supaya perbicaraan dan hukuman terhadap Annuar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ditangguhkan demi kesejahteraan dan ketenteraman perpaduan orang Melayu terutama bagi penyokong setia skuad The Red Warrior.

Annuar didakwa melanggar statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar, di mana hanya Presiden FAM sahaja yang boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.

Beliau juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Feb lepas iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebar kepada media dan sepatutnya dibawa berbincang dengan jawatankuasa yang berkenaan.

Ditanya mengenai perbicaraan yang bakal berlangsung esok, Taufik berkata ia akan dikendalikan oleh lapan anggota jawatankuasa itu, yang akan diketuainya.

"Tan Sri Annuar akan memberikan pembelaan di hadapan lapan ahli jawatankuasa tatatertib sahaja.

"Kita akan membicarakan kes ini secara telus dan seadil-adilnya tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak kerana kita tidak mahu dianggap sebagai pihak yang berat sebelah oleh segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan FAM," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain