suria

Cub Prix 2012: Zaqhwan Juarai Kategori CP130

SEBERANG JAYA: Mohd Zaqhwan Zaidi dari pasukan Pachie Yuzy Honda Racing mempamerkan aksi cemerlang apabila menjuarai kategori CP130 pada pembukaan tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 di Stadium Batu Kawan, di sini, Ahad.

Pelumba berusia 17 tahun, yang pertama kali beraksi di litar itu, menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan masa 13 minit 42.362 saat, di hadapan Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) dan Abdul Muhaimin Roslan dari pasukan Yamaha Maju Motor Racing.

Azlan Shah menamatkan saingan dengan catatan masa 13:48.645s manakala Abdul Muhaimin dengan 13:39.541s.

Mohd Zaqhwan tidak menyangka akan menjuarai pusingan pertama memandangkan catatan masa ketika sesi latihan bebas dan ujian masa pada Sabtu tidak begitu memuaskan.

"Sebelum memulakan perlumbaan, saya hanya meletakkan sasaran untuk naik ke podium kerana Azlan beraksi dengan begitu baik dan mendahului dalam sesi latihan bebas dan ujian masa," katanya.

Kejayaan itu membolehkan Mohd Zaqhwan menerajui senarai pelumba CP130 dengan kutipan 25 mata diikuti AZlan dengan 20 mata dan tempat ketiga Abdul Muhaimin dengan pungutan 16 mata.

Sementara saingan kategori CP115 menyaksikan Mohd Iskandar Raduan (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM) muncul juara setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 11:12.403s.

Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang Rading) berada di tempat kedua dengan masa 11:16.163s dan Ahmad Abdul Kadir (APIDO Yamaha Boon Kui Racing) ketiga dengan 11:20.479s.

Mohd Iskandar, 27, berkata, kemenangan tersebut amat bermakna kerana sebelum ini beliau berehat panjang selepas kakinya patah semasa perlumbaan ASEAN Cub Prix di Melaka, tahun lepas.

"Hampir setahun juga saya berehat selepas kemalangan itu dan menjadi juara untuk pusingan pertama ini adalah sesuatu yang membanggakan serta menjadi pendorong untuk buat lebih baik pada pusingan berikutnya," katanya.

Dalam pada itu, dalam kategori Wira, Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan muncul juara apabila mengalahkan rakan sepasukan Tengku Amirul Haffiruddin dan Mohd Hafiz Nor Azman (Team Mos Malaysia Racing) di tempat ketiga.

Pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing Team itu menamatkan perlumbaan dengan masa 9:24.293s manakala Tengku Amirul yang memberikan saingan sengit sepanjang perlumbaan mencatatkan 9:25.366s dan Mohd Hafiz dengan 9:26.970s.

Pusingan kedua kejuaraan 10 pusingan itu akan diadakan di Terengganu dari 13 dan 14 April ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain