suria

Amiridzwan Tekad Kerja Keras Untuk Sarung Jersi Negara

Amiridzwan (depan) mahu bekerja keras untuk merebut tempat dalam skuad negara.
Amiridzwan (depan) mahu bekerja keras untuk merebut tempat dalam skuad negara.
Amiridzwan (depan) mahu bekerja keras untuk merebut tempat dalam skuad negara.

PEMAIN tinggi lampai kelahiran Kelantan, Amiridzwan Taj Tajudin sedar bahawa dia perlu bekerja keras sekiranya ingin dipilih untuk menyarung jersi kebangsaan tahun ini.

Amiridzwan yang pernah dipanggil mewakili negara ketika perlawanan persahabatan menentang India tahun lalu, menjadikan peluang ini sebagai landasan untuk dia mengorak langkah lebih jauh dalam acara bola sepak.

Sebelum itu pemain berusia 26 tahun ini merupakan bintang bola sepak pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum disambar pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) musim ini.

Bertindak sebagai pemain pertahanan, Amiridzwan mahu kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal berbaloi selepas dia antara 67 pemain yang dipanggil untuk menjalani sesi latihan dan pemilihan bagi skuad kebangsaan.

"Saya begitu teruja kerana kembali dipanggil untuk menjadi sesi latihan dan pemilihan skuad kebangsaan dan berharap kali ini saya akan terpilih untuk menyarung jersi negara," katanya kepada mstar Online.

Menurut Amiridzwan, saingan untuk merebut tempat utama dalam skuad kebangsaan mungkin kelihatan lebih sukar berdasarkan senarai pemain-pemain yang lebih berpengalaman, namun itu tidak menjadi masalah besar kepadanya.

"Saya perlu berebut tempat dengan pemain yang lebih senior, tetapi sikap yakin dengan sendiri membolehkan saya mudah bergaul dengan pemain-pemain lain.

"Apa yang penting, saya perlu lebih bekerja keras sekiranya mahu mencuri tempat dalam skuad. Jurulatih lebih memberi tumpuan kepada taktikal, dan selebihnya adalah usaha sendiri.

"Saya juga perlu membuat homework sendiri kerana bermain di peringkat antarabangsa sangat berbeza dengan perlawanan tempatan," jelas pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan ini.

Selain itu, pasukan kebangsaan kini sibuk menjalani latihan serta beberapa perlawanan persahabatan bagi persiapan dalam misi mempertahankan kejuaraan Kejohanan Piala Suzuki AFF hujung tahun ini.

Biodata

Nama penuh: Amiridzwan Taj Tajudin

Asal: Kelantan

Tarikh lahir: 30 Mei 1986 (26 tahun)

Posisi: Pemain pertahanan

Kelab: ATM

Artikel Lain