suria

Beng Hee Gagal, Omar-Adrian Mara Ke Akhir Terbuka KL

KUALA LUMPUR: Pemain pilihan ketiga kejohanan, Omar Mosaad dari Mesir membenam harapan pemain Malaysia Ong Beng Hee untuk layak ke perlawanan akhir skuasy Terbuka KL CIMB Nicol David, Sabtu.

Pada perlawanan separuh akhir antara Omar-Beng Hee di gelanggang skuasy di pusat beli belah Berjaya Times Square pada Jumaat, pemain pilihan kedua negara itu tewas kepada Omar 6-11, 7-11, 11-8 dan 7-11 dalam masa 52 minit.

Untuk Omar, pemain nombor 13 dunia, ia adalah penampilan pertamanya pada perlawanan akhir Terbuka Kuala Lumpur.

"Jelas Omar bermain dengan amat baik dan pukulan bolanya tajam. Ia adalah perlawanan yang sengit. Kekalahan hari ini agak mengecewakan saya.

"Bagaimanapun, saya rasa ia adalah permulaan yang baik selepas kalah pada pusingan pertama dalam kejohanan sebelum ini," kata Beng Hee.

Selepas ini Beng Hee akan menyertai Terbuka British pada Mei dan akan memberi tumpuan kepada latihan dan tidak akan menyertai sebarang pertandingan pada April.

Pada satu lagi perlawanan separuh akhir, pemain England Adrian Grant membuat kejutan apabila menewaskan pemain pilihan pertama kejohanan Karim Darwish dari Mesir untuk menempah tiket ke perlawanan akhir Terbuka KL, yang kedua baginya.

"Ia akan menjadi satu lagi permainan yang menarik esok (Sabtu). Bagi saya, perjalanan masih jauh...saya mahu mengekalkan momentum untuk esok," kata Adrian. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain