suria

10 Atlet Paralimpik Tempah Tiket Ke London

KUALA LUMPUR: Sepuluh atlet paralimpik negara menempah tiket awal untuk beraksi di Temasya Paralimpik London, yang akan berlangsung pada 29 Ogos hingga 9 September.

Antara mereka ialah tiga pemanah paralimpik negara, Mohd Zafi Rahman Mat Salleh, Hasinin Sahawi dan Zulkifli Mat Zin, dua pelayar paralimpik, Al Mustakim Matrin dan Nurul Amilin Balawi.

Atlet ping pong paralimpik, Koh Zhii Liang dan Mohd Azwa Bakar serta atlet angkat berat P.Mariappan juga dipilih beraksi pada kejohanan itu, kata Pengarah Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Safrusahar Yusuf kepada Bernama pada Jumaat.

Beliau menjangka kira-kira 13 atlet paralimpik lagi dalam acara olahraga, angkat berat, ping pong, berbasikal, lawan pedang berkerusi roda dan tenis berkerusi roda akan melepasi sesi kelayakan Olimpik masing-masing pada awal Mei.

"Kita harap pada Mei nanti, lebih ramai atlet paralimpik negara mampu mendapat tempat menerusi kejohanan kelayakan mengikut acara sukan masing-masing," katanya.

Mohd Safrusahar berkata jika jumlah itu melebihi 19 atlet, ia merupakan penyertaan terbesar kontinjen negara dalam sejarah penyertaan temasya terbesar dunia itu sejak kali pertama menyertainya pada 1988 di Seoul, Korea Selatan.

Jumlah atlet teramai dalam kontinjen paralimpik negara ialah 19 orang ketika Sukan Paralimpik di Athens, Greece pada 2004.

Menurutnya MSN juga telah menyusun program yang bersesuaian dengan keperluan atlet paralimpik negara bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk membawa pulang pingat di London nanti.

"Kita akan wujudkan program khas yang dikenali sebagai 'Road To Paralimpik London' pada April nanti sebagai program persiapan atlet sebelum ke London.

"Program itu akan menitikberatkan latihan fizikal, pendedahan pertandingan dan juga kem motivasi bagi membina kekuatan dalaman dan fizikal atlet," katanya.

Mohd Safrusahar berkata MSN juga bercadang mengatur beberapa perlawanan luar negara bagi memberi pendedahan kepada atlet paralimpik yang pertama kali menyertai temasya itu selain menganjur kem motivasi secara berterusan bagi membina keyakinan diri setiap atlet paralimpik. - BERNAMA

Artikel Lain