suria

ATM Kekal Pendahulu Liga Perdana Walaupun Tewas 0-2 Kepada Pos Malaysia

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih kekal pendahulu Liga Perdana walaupun kalah mengejut 0-2 kepada Pos Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam Jumaat.

Kekalahan tersebut tidak mengubah kedudukan pasukan kendalian B. Sathianathan itu yang mengumpul 22 mata selepas 10 perlawanan.

Dua gol pasukan pelawat pada perlawanan itu dijaringkan G. Puanewswaran pada minit ke-43 menerusi sepakan penalti dan Mohd Hanifuddin Abdul Rahman pada minit ke-66 permainan.

Musuh terdekat mereka iaitu Pahang turut mencatatkan kekalahan mengejut 2-3 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Dua gol skuad Tok Gajah dijaringkan Mohd Azamuddin Mohd Akil pada minit ke-68 dan 80 manakala tiga gol pasukan pelawat dihasilkan Mohamad Khalid Hamlet pada minit ke-49 serta Khairul Izuan Abdullah pada minit ke-64 dan 84.

Semi-finalis Piala FA musim ini, Sime Darby pula meneruskan rentak kecemerlangan mereka selepas membelasah NS Betaria 5-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Lima gol skuad bimbingan Ismail Zakaria itu dijaringkan oleh Razali Umar Kandasamy pada minit ke-15, Sengbah Kennedy (minit ke-65), Mohd Irme Mat (minit ke-80 dan 85) serta Mohd Faiz Mohd Isa lima minit kemudian.

Sementara itu, Perlis terus dirundung malang selepas kalah 1-2 kepada wakil kelab Pulau Pinang, USM FC di Stadium Utama Kangar.

USM FC terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain importnya dari Uganda, Kaye Edrisar pada minit ke-13 sebelum pemain skuad Singa Utara, Syed Abdul Ghafar Syed Amir menyamakan kedudukan empat minit kemudian, namun Mohd Akmal Mohd Noor memastikan kemenangan wakil kelab Pulau Pinang itu pada minit ke-54.

Sementara itu dalam saingan Liga Super, Kedah meneruskan rentak cemerlang mengutip tiga mata penuh selepas mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Perak di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Beraksi di hadapan 20,000 penyokong setia Hijau Kuning, pemain importnya dari Ghana Hamidan Mohamed membuka jaringan untuk Kedah pada minit ke-45 setelah bijak memanfaatkan bola tandukan ke belakang Mohd Sabree Mat Abu susulan sepakan sudut kapten pasukan Baddrol Bakhtiar.

Gol kedua Kedah hadir pada minit ke-77 apabila pemain pertahanan Perak Mohd Syazwan Mohd Roslan tersepak bola ke gawang sendiri dalam usaha menyekat serangan Kedah setelah berlaku salah faham dengan penjaga gol Khairul Amri Salehuddin.

Mohammed Hamidan menjadi wira Kedah apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-84 menerusi tendangan kencang dari luar petak penalti yang gagal diselamatkan oleh Khairul Amri untuk mengesahkan kemenangan mutlak Hijau Kuning pada perlawanan yang turut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Dalam satu lagi perlawanan, Kuala Lumpur terus dirundung malang apabila tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Skuad warga kota bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh oleh Mohd Afiq Azmi sebelum skuad Rusa membalas dengan dua gol menerusi Ahmad Shakir Mohd Ali pada minit ke-12 dan kapten pasukan Mohd Shukor Adan pada minit ke-75. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain