suria

Daren Mara, Zulfadli Kecundang

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan Malaysia Liew Daren mara ke pusingan ketiga perseorangan lelaki dalam kejohanan Terbuka Switzerland di Basel, Khamis.

Liew mengalahkan Hsu Jen Hoo dari Taiwan 21-19, 21-8 pada perlawanan pusingan kedua yang diadakan awal hari ini dan akan berhadapan pemain Portugal Pedro Martins di pusingan seterusnya.

Seorang lagi pemain perseorangan negara Zulfadli Zulkifli gagal meneruskan saingan apabila kalah kepada pemain Bulgaria, Stilian Makarski 22-20, 20-22, 21-17.

Dalam perlawanan beregu lelaki, pasangan Malaysia Goh V Shem/Teo Kok Siang akan berhadapan beregu pilihan utama Chai Biao/Guo Zhendong dari China pada pusingan kedua.

Goh dan Teo sebelum ini mengalahkan Ingo Kindervater/Johannes Schoettler dari Jerman 21-16, 21-17 dalam perlawanan pusingan pertama.

Pemain beregu Malaysia Gan Teik Chai/Tan Bin Shen, bagaimanapun mengakhiri kempen mereka selepas kalah kepada beregu Indonesia Markis Kido/Hendra Setiawan 20-22, 18-21.

Pemain Malaysia lain yang meneruskan kemaraan ke pusingan kedua ialah beregu wanita Chin Eei Hui/Wong Pei Tty dan Ng Hui Ern/Ng Hui Lin serta beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying.

Chin/Wong mengalahkan Choi Hye In/Kim So Young dari Korea Selatan 15-21, 21-18, 21-16 manakala adik-beradik Ng menewaskan Marion Gruber dan Sanya Herzig dari Switzerland 21-11, 21-12.

Pilihan kelima Chan and Goh mengalahkan Valery Antrashchenkov/Anna Kobceva dari Ukraine 21-16, 21-19. - BERNAMA

Artikel Lain