suria

Hoki: Malaysia Kalahkan Ukraine 5-1

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mengatasi Ukraine 5-1 pada pusingan kelayakan hoki ke Sukan Olimpik 2012 di Dublin, Ireland, malam Selasa (waktu tempatan).

Walaupun, Malaysia telah mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan namum ujian sebenar skuad bimbingan Tai Beng Hai menanti selepas ini apabila menentang Korea Selatan, Khamis ini.

Selain Korea Selatan, Malaysia akan mengakhiri saingan dengan bertemu Ireland, yang turut mengekalkan rekod tanpa kalah.

Bagaimanapun, Malaysia perlu membuat caturan serius selepas megharungi tiga perlawanan di sini sebelum berdepan dengan ujian getir pada dua perlawanan penting selepas ini.

Pada saingan malam Selasa, Malaysia tidak menghadapi masalah untuk melakarkan kemenangan tetapi jumlah gol yang dihasilkan berbanding Korea Selatan dan Ireland perlu diberi perhatian.

Selepas tiga perlawanan, Malaysia telah menjaringkan 16 gol manakala Ireland dan Korea Selatan masing-masing menyumbat 18 dan 14 gol selepas dua perlawanan.

Malaysia mendahului Ukraine 2-0 pada separuh masa menerusi jaringan Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-23 diikuti Hafifihafiz Hanafi pada minit ke-32.

Pada babak kedua, Muhammad Razie Abdul Rahim menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-48 untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan selesa 3-0.

Bagaimanapun, Ukraine, pasukan tercorot dalam kejohanan enam pasukan itu, bangkit sektika untuk menjaringkan gol saguhati menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Viacheslav Paziuk pada minit ke-57.

Malaysia menambah dua lagi gol pada 10 minit terakhir perlawanan menerusi Muhammad Amin Rahim (minit ke-60) dan Mohamad Sukri Abdul Mutalib pada minit ke-69. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain