suria

91 Pemain Golf Junior Sertai Golf Terbuka AmBank Amatur Junior 2012

KUALA LUMPUR: Seramai 91 pemain golf junior berumur di bawah 18 tahun dari empat negara termasuk Malaysia akan menyertai Kejohanan Golf Terbuka AmBank Amatur Junior 2012 di Royal Selangor Golf Club bermula Selasa hingga Khamis ini.

Ketua Hal Ehwal Awam Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali berkata kejohanan itu juga akan disertai pemain dari Hong Kong, Filipina dan Kanada.

"Kami amat berbangga dapat bekerjasama bagi pertandingan signifikan ini yang merupakan batu loncatan untuk pemain golf junior melangkah untuk mencapai status yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Syed Anuar berkata kejohanan itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu Lelaki dan Perempuan bawah 18 tahun dan bawah 15 tahun.

Kumpulan AmBank merupakan penaja utama bagi Faldo Series Malaysia Championship 2011 dan penaja utama Pusingan Akhir SportExcel Junior Golf Championship.

Selain golf, Kumpulan AmBank turut menjadi penaja utama sukan lain seperti Langkawi International Mountainbike, Petaling Jaya dan Pulau Pinang Half-marathon serta Ipoh Starwalk. - BERNAMA

Artikel Lain