suria

Badminton: Daren, Zulfadli Mara Ke Pusingan Kedua Terbuka Switzerland

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan Malaysia Liew Daren dan Zulfadli Zulkifli mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Switzerland di Basel pada Rabu.

Daren, yang mengalahkan pemain Perancis Brice Leverdez 22-20, 21-13, akan bertemu Hsu Jen Hao dari Taiwan, manakala pemain nombor dua remaja dunia Zulfadli pula akan berdepan dengan Stilian Makarski dari Bulgaria setelah mengatasi Tan Yuhan dari Belgium 21-14, 21-13. A ntara 10 pemain terbaik lelaki yang menyertai kejohanan itu ialah pemain nombor tiga dunia Chen Long dari China dan bekas juara dunia Danish Peter Hoeg Gade, yang turut melangkah ke pusingan kedua setelah mengalahkan lawan masing-masing.

Pada pusingan kelayakan pula, pasangan beregu lelaki Malaysia Goh V Shem dan Teo Kok Siang mengetepikan rakan sepasukan Mak Hee Chun/Tan Wee Kiong 14-21, 21-19, 21-19 untuk beraksi pada undian utama.

Pasangan beregu wanita Malaysia Ng Hui Lin dan Ng Hui Ern juga melayakkan diri untuk beraksi pada undian utama setelah mengalahkan Johanna Goliszewski/Carla Nelte dari Jerman 16-21, 21-12,21-14.

Bagaimanapun, pemain perseorangan kebangsaan Tee Jing Ying tidak layak beraksi pada undian utama apabila kalah kepada pemain Thailand Sapsiree Taerattanachai 20-22,15-21.

Pemain Malaysia lain yang terdiri daripada beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, beregu wanita Chin Eei Hui/Wong Pei Tty dan Vivian Hoo/Woon Khe Wei serta beregu lelaki Gan Teik Chai/Tan Bin Shen akan bermain pada pusingan pertama lewat hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain