suria

Pahang Julang Piala Emas Raja-Raja

TEMERLOH: Pahang muncul juara Piala Emas Raja-Raja setelah menewaskan Melaka 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh Ahad malam.

Sokongan padu lebih 5,000 penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium nyata membakar semangat juang skuad Tok Gajah untuk muncul pemenang, sekaligus mengulangi kejayaan menjulang piala berkenaan pada 1980, menewaskan Perak 4-2.

Pahang nyaris mendahului pelawat pada minit ke-6 menerusi sepakan kencang Mohd Shaiful Amri dari luar kotak penalti, namun tindakan pantas penjaga gol berjaya menyelamatkan gawang Melaka daripada dibolosi.

Serangan balas yang diatur anak didik Mahmud Hassan membuahkan hasil untuk Melaka membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi rembatan Zailan Mohammad dari luar kotak penalti.

Namun semangat kental yang ditunjukkan skuad Tok Gajah berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-35 selepas Abd Malik Mat Ariff dikasari di depan kotak penalti.

Separuh masa kedua, anak didik Kamaruddin Shawkatali tidak memberi peluang kepada Melaka mencipta gol apabila larian pantas Mohd Fauzi Rozlan dari tengah padang berjaya menolak masuk bola ke dalam gawang pelawat pada minit ke-76.

Semangat tinggi yang disajikan pemain Pahang membawa kepada jaringan ketiga hasil tandukan Abd Malik Mat Ariff pada minit ke-78 berpunca daripada sepakan percuma Mohd Hafiz Kamal.

Sehingga wisel penamat kedudukan kekal Pahang 3 Melaka 1.

Hadiah disampaikan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). BERNAMA

Artikel Lain