suria

Sukan Sea: Noraseela Raih Emas, Kecewa Dengan KOAM

PALEMBANG: Ratu lari berpagar negara Noraseela Mohd Khalid menepati jangkaan apabila mengungguli acara kegemarannya 400m lari berpagar pada Sukan SEA ke-26 di Stadium Olahraga Jakabaring di sini, Selasa.

Beliau mencatatkan 57.41s untuk meninggalkan pencabar terdekat Wassana Winatho dari Thailand yang mencatat 58.97s manakala atlet tuan rumah Hetari Viera di tempat ketiga dengan 59.64s.

"Saya sendiri terkejut dengan rentak larian saya hari ini. Amat baik. Saya rasa selesa dan segalanya berjalan lancar. Rasa sangat gembiralah dapat sumbangkan emas," katanya kepada media selepas perlumbaan itu.

Noraseela, 32, berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi lepas di Laos pada 2009 dengan catatan masa 56.9s manakala catatan perbadi terbaiknya ialah 56.02s

Bagaimanapun dalam kegembiraan itu, Noraseela yang pernah memenangi empat pingat emas pada siri Sukan SEA, sempat meluahkan perasaan kecewanya dengan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).

Menurutnya banyak masalah melibatkan atlet olahraga timbul akibat sikap negatif sesetengah pihak dalam kesatuan itu sehingga menjejaskan kemajuan atlet dan sukan olahraga negara secara amnya.

"Ada banyak sangat masalah dalam olahraga. Saya harap ada pihak yang dapat melakukan sesuatu, khususnya presiden, supaya sukan olahraga negara dapat bangkit semula," katanya.

Beliau turut amat hampa dengan sikap KOAM yang mengambil mudah penyertaan kuartet 4x400m lelaki negara, yang tiba di Palembang pada saat akhir untuk bertanding dengan tajaan individu tertentu.

"Malah, banyak lagi atlet kita yang berpotensi mengharapkan dapat datang ke sini tetapi tidak dipedulikan KOAM," katanya.

Kuartet 4x400m lelaki negara semalam melakukan kejutan dengan meraih emas acara itu.

Selain itu, Noraseela juga amat berharap ada pihak yang dapat membantu beliau dan atlet lain yang berpotensi seperti atlet lompat bergalah Roslinda Samsu dan atlet lompat tinggi Lee Hup Wei dalam proses kelayakan ke Olimpik.

Beliau memdakwa ini kerana pihak KOAM tidak melakukan apa-apa untuk membantu mereka.

"Saya cuma ada masa mungkin dua tahun lagi untuk 'berlari'.. saya harap sebelum saya bersara saya dapat melayakkan diri ke Olimpik," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain