suria

Enam Pelumba Basikal Terengganu Galas Cabaran Di Sukan Sea

KUALA TERENGGANU: Enam pelumba basikal dari Terengganu akan menggalas cabaran negara pada Sukan SEA ke-26 di Indonesia yang bermula secara rasmi Jumaat ini.

Jurulatih skuad lumba basikal Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata mereka terdiri daripada seorang pelumba wanita dan lima pelumba lelaki dalam acara trek dan acara lebuh raya.

"Kita harap mereka akan mengharumkan nama negara pada temasya sukan dwitahunan itu," katanya.

Katanya pelumba wanita Fatihah Mustapa akan menyertai Mohd Haris Salleh dan Mohd Zulhilmi Hafiz Ahmad Zamri dalam acara trek manakala pelumba acara lebuh raya ialah Adiq Hussaini Othman, Amir Mustapa Rosli dan Mohd Shahrul Mat Amin.

Syed Mohd Hussaini, yang juga penolong jurulatih skuad lumba basikal Sukan SEA negara, Fatihah kini sedang menjalani latihan di Melbourne, Australia.

Melihat kepada prestasi pelumba-pelumba Terengganu dan persiapannya, beliau yakin mereka mampu menyaingi pelumba dari negara lain termasuk pencabar terkuat iaitu pelumba tuan rumah Indonesia.

Beliau berkata skuad kebangsaan yang terdiri daripada 14 atlet akan bertolak ke Indonesia mulai Jumaat ini.

Katanya acara lebuh raya akan berlangsung di Bandung mulai 14 hingga 17 November sementara acara trek pula akan diadakan di Jakarta dari 19 hingga 22 November.

Beliau berkata persiapan atlet negara telah pun dibuat di Ipoh bagi acara trek dan Kuala Lumpur untuk acara lebuh raya sehak 20 Oktober lalu.

"Kita akan buat yang terbaik dan berusaha untuk membawa pulang pingat," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain