suria

Ahmad Said Kesal Cubaan Politikkan Bola Sepak Terengganu

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said kesal kerana ada pihak cuba mempolitikkan isu bola sepak di Terengganu.

Menurutnya pihak berkenaan mempuyai agenda tersendiri dan sengaja cuba menjatuhkan imej Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu,(PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh.

"Dalam bola sepak pun nak berpolitik. (Terengganu) kalah dalam (perlawanan akhir) Piala Malaysia, nak buat mogok, ugut macam-macam (tetapi) apabila Terengganu menang (Piala FA) tiada pula nak buat apa-apa," katanya selepas majlis perjumpaan bersama 2,000 pelajar terbilang sasaran SPM dan STPM di sini, Selasa.

Ahmad berkata beliau tidak akan campur tangan dalam isu pengurusan bola sepak di Terengganu walaupun ada pihak yang mahukan beliau berbuat demikian.

"Nak campur tangan apa lagi, dia ada persatuan, dia ada mesyuarat agung, jurulatih dan pemain sering berrganti... masalah sekarang, ada orang nak main politik," katanya.

Jumaat lepas, 1,000 penyokong bola sepak Terengganu mengadakan perhimpunan di perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, bagi meminta perubahan dilakukan dalam pengurusan PBSNT serta mahu Che Mat segera berundur kerana didakwa melakukan salah guna kuasa.

Mereka juga memberi kata dua kepada Menteri Besar sama ada menyelesaikan segera kemelut berkenaan atau bakal kehilangan sokongan golongan muda pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, memutuskan untuk tidak bersama Skuad Penyu untuk musim depan walaupun setelah berjaya membawa pasukan negeri ke perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini.

Dalam perlawanan itu, Terengganu kalah 2-1 kepada Negeri Sembilan. - BERNAMA

Artikel Lain