suria

Aksi Menentang India, Peluang Pemain Baru Pamer Kebolehan:Rajagobal

KUALA LUMPUR: Pemain baru yang diserapkan ke dalam skuad bola sepak kebangsaan perlu mempamerkan aksi terbaik bagi menjamin kedudukan selain memperbanyakkan pilihan kepada pasukan.

Ketua jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal berkata peluang itu harus digunakan sebaiknya sebagai medan untuk menunjukkan kebolehan, khususnya menjelang dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang India pertengahan bulan ini.

"Saya mahu muka-muka baru ini mempamerkan prestasi terbaik bagi memastikan kedudukan dalam pasukan terjamin, malah ini adalah medan untuk saya melihat kemampuan mereka berdepan situasi perlawanan antarabangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Untuk perlawanan yang akan berlangsung di Guwahati dan Kolkata pada 13 dan 16 Nov ini Rajagobal telah menyenaraikan beberapa muka baru antaranya pemain tengah Negeri Sembilan Shahurain Abu Samah, penyerang Johor FC Shahrizal Mohd Saad serta pemain Universiti Teknologi Mara (UiTM) Amir Ridzwan Taj Tajuddin.

Beliau juga turut mengekalkan khidmat beberapa pemain lama seperti Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohd Safiq Rahim bagi memperkuatkan barisan pemain.

Rajagobal berkata kesemua 26 pemain yang dipanggil kini giat menjalani latihan fasa terakhir di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sejurus kembali dari latihan tiga hari di Pulau Langkawi, Kedah sejak Selasa lepas.

"Kita akan bertolak ke sana (India) pada 10 Nov untuk menyesuaikan diri sebelum perlawanan pertama pada 13 Nov (di Guwahati) dan semua pemain kita juga tidak mengalami kecederaan dan cergas untuk kedua-dua perlawanan tersebut," katanya.

Bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun negara itu bagaimanapun tidak meletakkan sasaran khusus untuk perlawanan menentang skuad muda India di bawah bimbingan Savio Medeira yang baru dilantik oleh Persekutuan Bola Sepak Seluruh India sebagai jurulatih Rabu lepas.

Perlawanan itu merupakan sebahagian daripada persiapan India bagi menghadapi kejohanan dwitahunan Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan pada Disember ini yang menyaksikan mereka muncul juara sebanyak lima kali.

India yang kini menduduki ranking ke-160 Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) turut dijadual mengadakan perlawanan persahabatan dengan Zambia hujung bulan ini di Goa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain