suria

Wan Jamak Minta Nasihat KFA Sebelum Jawab Tuduhan Kritik Pengadil

KUALA LUMPUR: Jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan ingin mendapatkan nasihat daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebelum menjawab surat pertuduhan yang dikeluarkan oleh urus setia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadapnya.

FAM telah mengeluarkan surat berkenaan kepada Wan Jamak, 53, berikutan kenyataannya mengkritik pengadil yang menafikan dua jaringan pasukan Hijau Kuning pada babak pertama menentang Perak pada saingan Piala Malaysia.

Kedah sekadar seri 1-1 menentang Perak dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Malaysia itu di Stadium Darulaman, Alor Setar, pada 28 September lalu, sekali gus menyebabkan mereka gagal mara ke suku akhir.

Wan Jamak berkata beliau dijangka akan dipanggil oleh majikannya dalam masa sehari dua nanti.

"Saya tidak boleh membuat sebarang kenyataan berhubung tindakan yang bakal diterima sebelum berbincang dengan KFA terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Sementara itu, Setiausaha KFA, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata pihaknya telah menerima surat pertuduhan daripada FAM.

"Kita tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum jawatankuasa tatatertib FAM bersidang dan semua exco persatuan juga dilarang memberi sebarang komen sebelum keputusan dibuat oleh FAM," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menjawab surat yang telah diterima kepada FAM dan akan mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Pengerusi jawatankuasa tatatertib FAM, Datuk Taufik Tan Sri Abdul Razak berkata pihaknya masih belum menetapkan tarikh untuk bersidang namun beliau difahamkan bahawa urus setia FAM telah menghantar surat pertuduhan kepada Wan Jamak.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang dihubungi Bernama turut mengesahkan bahawa pihaknya telah menghantar surat pertuduhan kepada KFA dan Wan Jamak sendiri namun masih belum menerima sebarang jawapan daripada kedua-dua pihak.

"Saya tidak boleh memberi sebarang komen sehingga Wan Jamak menjawab surat pertuduhan tersebut," katanya.

Difahamkan bahawa Wan Jamak bakal berdepan dengan hukuman penggantungan selama 18 perlawanan sekiranya tidak mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa tatatertib berhubung isu tersebut. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain