suria

Mat Zan Mat Aris Ditawar Ganti Irfan Bakti

KUALA TERENGGANU: Jurulatih kelab Liga Perdana, Mat Zan Mat Aris ditawarkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Terengganu bagi menggantikan Irfan Bakti Abu Salim.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh berkata keputusan itu dibuat setelah Irfan Bakri membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya bersama Terengganu untuk musim akan datang.

Kontrak Ifran Bakri berakhir 30 November ini selepas membimbang skuad Penyu itu selama dua musim.

Che Mat berkata pihak persatuan tiada hasrat untuk membuang jurulatih yang banyak membawa kegemilangan pasukan Terengganu namun keputusan itu telah dibuat oleh jurulatih kelahiran Kelantan itu.

"Pertukaran jurulatih adalah perkara biasa, saya mengakui perkhidmatan yang ditunjukkan jurulatih ini amat membanggakan sehingga mampu muncul juara FA, muncul naib juara Liga Super dan tempat kedua Piala Malaysia, namun keputusan telah dibuat oleh beliau," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pihaknya telah mendapatkan persetujuan lisan daripada Mat Zan, yang juga jurulatih kelab Pos Malaysia FC, namun butir-butirnya tidak dapat didedahkan kerana ia belum secara rasmi.

Katanya PBSNT akan berbincang dengan Mat Zan dalam masa terdekat untuk mendapatkan jawapan yang pasti.

"Kita telah berhubung dengan Mat Zan mengenai perkara ini dan beliau bersetuju, namun itu hanya melalui lisan belum ada hitam putih," katanya.

Menurut Che Mat, beliau yakin Mat Zan mampu membimbing skuad Terengganu berdasarkan rekod kejayaannya membawa Terengganu muncul juara Piala Malaysia pertama pada tahun 2009.

"Beliau telah diberi mandat untuk memperkemas pasukan kita dan kita yakin beliau mampu melakukan yang terbaik untuk Terengganu," katanya.

Mengulas mengenai siapa barisan pemain yang akan dikekalkan, beliau berkata PBSNT akan mendapat jawapan muktamad daripada semua pemain dalam masa dua minggu lagi.

Katanya setakat ini semua pemain utama tidak akan digugurkan kerana mereka masih ada kontrak bersama persatuan sehingga tahun depan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain