suria

PLBM Anjur Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Asia Pasifik Ke-6

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menganjurkan edisi keenam Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Asia Pasifik di Stadium Boling Padang Dalam Dewan Bayuemas, Pandamaran, Klang dari 3 hingga 8 Oktober ini, yang akan disertai 65 atlet dari 13 negara, termasuk Malaysia.

Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid memberitahu sidang akhbar di sini, kejohanan itu juga akan menjadi ujian kepada pemain-pemain boling padang negara yang akan menyertai Kejohanan Boling Padang Asia Pasifik ke-14 di Adelaide, Australia.

Selain Malaysia, turut mengambil bahagian ialah Australia, Kanada, Fiji, New Zealand, Brunei, China, Hong Kong (China), India, Macau, Singapura, Thailand dan Filipina.

Antara pemain handalan dunia yang telah mengesahkan penyertaan ialah pemain nombor tiga dunia, Aron Sheriff, Nathan Rice dan Lynsey Armitage dari Australia, Shanon McIlroy (New Zealand), Rosita Bradborn dan Maila Witheridge (Filipina) serta Tammy Tham (Hong Kong).

Kejohanan enam hari itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$50,000 (kira-kira RM159,000) dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu campuran dan tiga sepasukan campuran.

Ahmad Sarji berkata selain Kejohanan Boling Padang Asia Pasifik ke-14 di Adelaide yang dijadual dari 26 Nov hingga 11 Dis, kejohanan enam hari di sini juga akan menjadi medan persiapan pemain negara untuk menghadapi Kejohanan Boling Padang Dunia, juga di tempat yang sama pada tahun depan.

"Untuk tujuan itu, PLBM dengan kerjasama Majlis Sukan Negara telah melantik jurulatih dari Afrika Selatan untuk membimbing persediaan atlet. Selain itu, beliau juga akan dibantu oleh tiga jurulatih tempatan," katanya.

Terdahulu, Ahmad Sarji menerima tajaan berjumlah RM386,896 daripada Yayasan Sime Darby, selaku penaja acara dan 100Plus, yang menyumbang minuman isotonik bagi kejohanan itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Annuar Restui Sathianathan Latih ATM

Artikel Lain