suria

Sukan Sea: Penganjur Di Palembang Giat Siapkan Venue

KUALA LUMPUR: Penganjur temasya Sukan SEA di Palembang, Indonesia sedang bekerja keras bagi memastikan semua venue bagi temasya itu siap sepenuhnya menjelang hujung September nanti.

Ketua Kontinjen Malaysia ke temasya di Palembang, Datuk Syed Mustaffa Syed Ali berkata penganjur di Palembang memberikan jaminan tersebut ketika lawatan kerja negara-negara yang akan bertanding di temasya tersebut ke Palembang pada 18 Ogos lalu.

"Saya yakin pihak penganjur mampu menyiapkan sepenuhnya semua kerja ini berdasarkan gabenornya yang telah mengarahkan pekerja yang komited bertungkus-lumus 24 jam bagi menyiapkan segala persiapan mengikut jadual," katanya, Khamis.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) turut memberi jaminan bahawa penginapan di perkampungan atlet di Kompleks Jakabaring sudah siap disediakan dan akan diuruskan dengan terbaik oleh penganjurnya.

Menurutnya beliau difahamkan kira-kira 2,200 atlet ditempatkan di perkampungan sukan, dengan jarak antara venue penginapan dan tempat pertandingan yang dekat membolehkan atlet berulang alik dengan berjalan kaki.

"Namun bagi atlet bola tampar termasuklah atlet Malaysia, mereka akan tinggal di hotel memandangkan venue pertandingan bagi acara tersebut adalah jauh dari perkampungan sukan," katanya.

Jakarta dan Palembang akan menjadi tuan rumah edisi ke-26 Sukan SEA yang berlangsung dari 11 hingga 25 November.

Sebanyak 40 daripada 43 acara yang dipertandingkan akan disertai atlet negara pada temasya dwitahunan itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Eto'o Menjadi Milik Anzhi

Artikel Lain