suria

Kemunculan Generasi Kedua Pemain-Pemain Muda Ferguson

MANCHESTER: Sir Alex Ferguson telah membuktikan kepada semua orang awal pagi tadi bahawa beliau kini telah melahirkan generasi kedua pemain-pemain muda yang bakal mencipta nama sepertimana generasi David Beckham, Ryan Giggs, Paul Schole dan Gary Neville.

Ketika pasukannya menewaskan Tottenham Hotspurs 3-0 di Old Trafford, beliau telah menurunkan satu pasukan dengan purata umur di bawah 23 tahun.

Penyerang yang baru berusia 20 tahun dan dilahirkan menerusi Akademi Manchester United, Danny Welbeck menjaringkan satu gol dan mencipta peluang untuk Anderson menjaringkan gol kedua menerusi hantaran belakang menggunakan tumit telah mencetuskan satu fenomena baru yang berjaya dilahirkan oleh Ferguson bersama generasi Beckham.

Welbeck menjaringkan gol tersebut menerusi tandukan tepat hasil hantaran silang seorang lagi pemain kelahiran akademi, Tom Cleverley yang berusia 22 tahun.

Gol ketiga United dihasilkan oleh tidak lain dan tidak bukan, Wayne Rooney.

Selain Welbeck dan Cleverley, barisan pertahanan United dibarisi hampir kesemuanya pemain-pemain di bawah 23 tahun melainkan Patrice Evra, 30, pemain veteran Perancis yang bertindak sebagai kapten pasukan.

Penjaga gol, David De Gea baru berusia 21 tahun, pemain pertahanan Phil Jones juga 21, Chris Smalling, 21 dan Jonny Evans baru mencecah umur 22 tahun.

Kesemua mereka adalah pemain antarabangsa negara masing-masing untuk pasukan bawah 21 tahun dengan De Gea baru sahaja merangkul kejuaraan Eropah Bawah 21 tahun dua bulan lalu.

Jones dan Smalling bergandingan di barisan belakang pasukan England Bawah 21 tahun manakala Welbeck dan Cleverley telah dipanggil untuk menyertai skuad senior England bulan lalu.

Ini belum diambil kira pemain-pemain lain yang baru dalam lingkungan umur 23 hingga 24 tahun seperti saudara kembar Fabio dan Rafael Da Silva, Danny Gibson, Frederico Macheda, Bebe, Chicarito dan lain-lain lagi.

Generasi pertama pemain muda yang berjaya mencipta nama di bawah bimbingan Ferguson pada awal tahun 1990-an sehingga menjadi bintang ternama dunia ialah David Beckham, Nicky Butt, Ryan Giggs, Paul Schole, Gary dan Phil Neville.

Kesemua mereka kemudiannya muncul sebagai tonggak utama United dan England serta Wales dengan Giggs masih lagi bermain untuk United manakala Gary serta Schole baru sahaja bersara musim lalu.

Beckham masih lagi bermain untuk kelab Amerika, LA Galaxy dan Phil Neville kini adalah kapten pasukan Everton sementara Nicky Butt bermain di kelab Hong Kong.

Betapa hebatnya pasukan yang dibentuk oleh Ferguson, selain generasi keduanya yang kini rata-rata berusia di bawah 23 tahun, pemain-pemain lain walaupun telah bergelar senior tetapi baru berusia dalam lingkungan 25 tahun.

Mereka ialah Rooney, Anderson, Nani, Ashley Young dan Valencia.

Artikel Lain