suria

KBS Sedia Jalin Kerjasama Dengan QPR

KEMAMAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mengkaji jalinan kerjasama dengan kelab Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) yang dimiliki Tan Sri Tony Fernandes untuk program pembangunan bola sepak negara sekiranya kelab tersebut mempunyai akademi latihan yang baik.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini kerana terdapat sesetengah kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) hanya mempunyai pemain terbaik yang dibeli dari luar seperti kelab Manchester United dan Chelsea.

"Saya akan mendapatkan maklumat sama ada kelab QPR mempunyai akademi latihan sendiri untuk melahirkan pemain berbakat," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian bubur lambuk dan Jalur Gemilang di Centre Point, di sini, Isnin.

Ahmad Shabery berkata demikian sebagai mengulas saranan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada Fernandes agar tidak melupakan bola sepak negara ini sekalipun akur QPR merupakan hak teraju bersama syarikat induk penerbangan AirAsia itu.

Ahmad Shabery berkata beliau sendiri sebelum ini telah berjumpa dengan Datuk Kamarudin Meranun, yang kini menjadi ahli lembaga pengarah kelab QPR untuk membincangkan bentuk kerjasama yang boleh dijalankan untuk membantu pembangunan bola sepak negara.

Fernandes, 47, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, menjadi pemilik saham utama yang baru dalam QPR selepas membeli 66 peratus saham pemilik Formula 1, Bernie Ecclestone pada kadar sekitar £35 juta (RM171 juta), Khamis lalu.-BERNAMA

Artikel Lain