suria

Skuad Taekwondo Pertaruh Ryan Chong Ke Suku Akhir

SHENZHEN: Skuad taekwondo negara yakin bahawa atlet kebangsaan Ryan Chong mampu mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir bagi kategori light weight lelaki (54-58kg) yang akan bermula pada Sabtu ini.

Pengurus pasukan taekwondo negara Mohd Asyraf Abdullah berkata sasaran itu dibuat berdasarkan pencapaian semasa yang ditunjukkan oleh pemenang pingat perak Sukan SEA di Korat, Thailand 2007.

"Kita tidak berani meletakkan sasaran yang lebih tinggi daripada itu memandangkan ramai atlet handalan dunia terutama dari Korea Selatan dan negara tuan rumah sendiri iaitu China.

"Namun kita mengharapkan bahawa dapat mencipta sesuatu Isnin nanti memandangkan atlet kita benar-benar bersemangat untuk menghadapi cabaran masing-masing," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Mohd Asyraf berkata pencapaian terbaru yang dicipta oleh Ryan ialah meraih gelaran juara di Kejohanan Taekwando Asean Mac lepas.

Beliau berkata seorang lagi atlet kebangsaan yang akan mengalas cabaran negara Isnin ini ialah Nurul Asfahlina Mohd Johari yang akan mengambil bahagian dalam acara fin weight wanita (bawah 46kg).

Skuad teakwondo pernah menyumbang pingat perak pada temasya Universiade edisi 2007 di Bangkok, Thailand melalui atletnya Chee Chew Chan. - BERNAMA

Artikel Lain