suria

Atlet Tenpin Boling Korbankan Aidilfitri Demi Negara

KUALA LUMPUR: Bagi lima atlet tenpin boling wanita, cabaran berpuasa dan menyambut Aidilfitri jauh daripada keluarga menjadi kekuatan untuk beraksi pada dua kejohanan pemanas badan menjelang Sukan SEA Indonesia, November ini.

Tiga daripada mereka iaitu Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamalidon dan Siti Shazwani Ahmad Suhaimi akan menyertai kejohanan PBAP Bevida-Storm International Classic Open di Filipina pada 24 hingga 31 Ogos ini, bersama Wendy Chai dan Sin Li Jane.

Sementara Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dan Zatil Iman Abdul Ghani pula akan bersama Esther Cheah, Sharon Koh dan Jacqueline Jenelee Sijore serta Sin Li Jane beraksi di Kejohanan Dunia Wanita di Hong Kong dari 3 hingga 12 September.

Bagi Siti Safiyah Amirah, menyambut hari raya tanpa keluarga tidak melemahkan semangatnya untuk menggalas cabaran dan tanggungjawab kepada negara.

"Ini antara pengalaman yang sukar buat saya, beraya tanpa di sisi keluarga, namun saya tetap menggalas tugas demi negara. Saya juga akan sempat beraya bersama mereka nanti," kata gadis berusia 21 tahun itu.

Katanya mereka adalah kumpulan kedua yang dipilih menyertai kejohanan antarabangsa dan merupakan satu pengiktirafan kepadanya.

Siti Safiyah yang baru sembuh daripada penyakit tiroid kembali beraksi tahun ini, dan adalah antara pemain muda berbakat yang dilahirkan Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC).

Katanya beliau bersama rakan sepasukan di bawah kendalian jurulatih Holloway Cheah dijadual berlepas ke Filipina hujung minggu ini sebagai persiapan awal sebelum bertanding di sana.

"Ini merupakan penyertaan kedua terakhir skuad tenpin boling wanita negara dan kemudiannya ke Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur pada Oktober nanti sebelum ke temasya di Indonesia pula," katanya.

Beliau berkata skuad tenpin boling wanita negara tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk merangkul pingat pada kejohanan di Manila nanti, namun berharap mampu mempertahankan pingat emas individu kejohanan itu.

Tahun lepas Siti Shazwani menewaskan peserta lain untuk mengungguli kategori terbuka individu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain