suria

Impian T'team Mahu Pinjam Pemain Perlis Berkecai

KUALA TERENGGANU: Impian T'Team untuk meminjam penyerang Perlis, Faiz Subri bagi mengharungi Piala Malaysia tidak kesampaian apabila pemain berkenaan tidak dilepaskan majikannya.

Jurulatih T'Team Yunus Alif berkata beliau sangat mengharapkan Faiz untuk memperkuatkan jentera serangan T'Team.

"Kita rasa terkilan tetapi apa boleh buat majikannya tidak melepaskan pemain tersebut untuk membantu kita," katanya, Selasa.

Yunus bagaimanapun sedikit terubat apabila dapat meminjam pemain MP Muar FC,

Mohd Fitri Omar dan KL Pos Malaysia, Mohd Jibrail Kamaron Baharin.

Beliau berharap kedua-dua pemain berkenaan dapat membantu T'Team untuk merealisasikan impian memasuki pertandingan akhir piala berprestij itu.

Sebelum menghadapi kejohanan sebenar, Yunus berkata T'Team akan diuji dalam beberapa perlawanan persabahatan dengan pasukan lain seperti Sime Darby, PKNS, Felda dan Kelantan.

Beliau berkata perlawanan persahabatan bertujuan untuk melihat sejauh mana kemampuan pasukannya dan persefahaman pemain di semua posisi.

Yunus berkata T'Team akan membuka tirai Piala Malaysia dengan menentang Selangor di sini pada 6 Sept dan diikuti pasukan Kuala Lumpur dan PDRM.

Beliau berkata untuk menghadapi Selangor, T'Team yakin mampu mengatasinya lebih-lebih lagi T'Team bermain di gelanggang sendiri.

Yunus berkata pemain-pemain T'Team akan diberi rehat selama lima hari untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri mulai 28 Ogos sebelum kembali berlatih pada 3 Sept.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain