suria

Cheong Terlepas Pingat Gangsa Dengan Dua Mata

SHENZHEN: Penerjun negara Cheong Jun Hong terlepas pingat gangsa dengan perbezaan dua mata dengan penerjun China Chen Ye pada acara 1m papan anjal wanita pada Sukan Universiti Dunia 2011 (Universiade) di sini, Selasa.

Walaupun gagal meraih pingat pertama negara, pencapaian tempat keempat dalam acara itu dianggap di luar jangkaan.

Beliau berjaya mengumpul sebanyak 281.35 mata selepas melakukan lima terjunan.

Cheong, 21, berkata beliau rasa kecewa kerana gagal untuk menyumbang pingat akibat sedikit kesilapan pada terjunan ketiga.

"Pengalaman beraksi bersama penerjun handalan dunia terutama daripada negara China cukup bermakna kepada diri," katanya kepada Bernama.

Atlet berasal daripada Ipoh, Perak itu berharap pengalamanya itu akan banyak membantu beliau untuk menghadapi temasya Sukan SEA di Indonesia pada November ini.

Pingat emas bagi acara tersebut menjadi milik peserta dari China, Shi Tingmao dengan kutipan 320.65 mata dan pingat perak pula milik Bryant Kelci dari Amerika Syarikat dengan kutipan 304.00 mata

Pingat gangsa bagi acara tersebut dimiliki Chen Ye dengan kutipan 283.30 mata.

Sementara itu aksi gandingan Ahmad Amsyar Azman dan Muhammad Fakhrul Izzat Mohd Zain tidak menjadi setelah gagal meraih pingat pada perlawanan akhir bagi acara 3m papan anjal segerak berpasangan lelaki.

Gandingan negara tersebut menduduki tempat terakhir daripada 10 peserta dengan mata keseluruhan 300.3. Pingat emas bagi acara tersebut menjadi milik gandingan China iaitu Qin Kai dan Lin Jin yang berjaya mengumpul 419.07 mata.

Manakala pingat perak pula milik Pacheco Rommel dan Ruvalcaba Jonathan dari Mexico (385.32 mata) dan pingat gangsa pula dimenangi oleh Okamoto Aaron dan Sakai Sho dari Jepun (374.40 mata).

Artikel Lain