suria

Universiade: Skuad Berbasikal Lebuh Raya Gagal Raih Pingat

SHENZHEN: Tiada pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa merupakan faktor utama kegagalan skuad berbasikal negara beraksi baik pada acara lebuh raya 160km individu lelaki yang berlangsung di Longgang International Cycling Course, Sabtu.

Pelumba negara Mohammad Akmal Amrun hanya mampu menduduki tempat ke-18 dengan catatan masa 3 jam 52 minit 20 saat, manakala Muhammad Rauf Nur Misbah di tempat ke-40 dengan catatan 3:52.31s.

Pingat emas dan perak acara tersebut menjadi milik pelumba Switzerland, Bernahard Oberholzer dan Patrick Schelling yang masing-masing mencatatkan 3:50.22s, manakala pelumba Jepun Genki Yamamoto meraih gangsa dengan catatan 3:50.46s.

Daripada 72 pelumba yang mengambil bahagian hanya 32 pelumba berjaya melengkapkan perlumbaan yang membabitkan 18 pusingan itu.

Mohammad Akmal ketika ditemui Bernama, berkata cabaran yang paling sukar dilalui olehnya ialah mendaki tiga bukit dengan kecerungan 9 darjah.

"Saya hampir tewas untuk meneruskan pelumbaan.

"Namun bekalan berlatih di Chiang Mai, Thailand telah banyak membantu saya dan Muhammad Rauf untuk menghabiskan perlumbaan," katanya.

Beliau berkata pengalaman beraksi di kejohanan bertaraf dunia itu cukup berguna untuk dirinya bagi menghadapi temasya Sukan SEA Indonesia pada November ini.

Sementara itu, pelumba wanita negara, Kimberlay Yap yang beraksi untuk acara 120km lebuh raya wanita hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-21 dengan catatan masa 3:37.20s.

Pingat emas dan perak acara terbabit dimenangi pelumba Korea Selatan, Gu Sun Geun dan Son Hee Jung yang masing-masing mencatat 3:31.42s, manakala gangsa menjadi milik Anne Arnouts dari Belgium. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain