suria

Perak Dapat Tiga Pemain Gantian Hadapi Piala Malaysia

IPOH: Perak yang kehilangan lima tonggak yang digantung kerana insiden menyerang pengadil, kini lebih bersedia mengharungi saingan Piala Malaysia menerusi kehadiran tiga pemain gantian.

Tiga pemain tersebut ialah Mohd Failee Mohd Ghazli yang dipinjam dari Universiti Sains Malaysia, pemain tengah Perlis, Mohd Hafiszuan Salehuddin dan pertahanan Harimau Muda, Muhammad Rafiuddin Roddin.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) Datuk Zainol Padzi Paharuddin berkata khidmat tiga pemain gantian itu diperlukan bagi memperkemaskan jentera pasukan dalam menghadapi saingan Piala Malaysia.

"Skuad Seladang perlu memperkemaskan jentera serangan...keseluruhan pasukan juga perlu disusun semula ekoran kehilangan lima pemain utama," katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Perak diundi di dalam kumpulan A bersama Johor, Kedah dan Sabah.

Zainol Padzi berkata penggantungan Shahrulnizam Mustapha, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Mohd Nasril Nurdin, Mohd Syazwan Roslan dan Azmeer Yusoff telah memberikan kesan kepada pasukan.

Kesemua mereka digantung tujuh perlawanan selepas terlibat dalam insiden menyerang pengadil Mohd Sabri Mat Lazim ketika perlawanan Liga Super di Stadium TLDM, Lumut pada 19 Mei lepas.

"Kita tidak berada di dalam zon selesa kerana prestasi yang tidak seimbang pasukan kita berbanding Kedah dan Sabah...kita tidak mempunyai sebarang kelebihan dengan dua pasukan ini.

"Begitu juga dengan Johor...sudah lama kita tidak berhadapan dengan mereka jadi mungkin terdapat perubahan yang ketara dari segi strategi dan taktik permainan...keadaan ini memberikan sedikit tekanan kepada ketua jurulatih, Norizan Bakar," katanya.

Belia juga berkata bahagian serangan Perak semakin hilang bisa di penghujung musim lalu setelah ketiadaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Pasukan Perak meneruskan latihan sepanjang Ramadan dan hanya bercuti pada hari raya pertama sebelum bertolak ke Sabah bagi menghadapi perlawanan yang dijadualkan 6 Sept ini. - BERNAMA

Artikel Lain