suria

Zandra Giat Jalani Latihan Hadapi Sukan Sea Indonesia

KUALA LUMPUR: Pemain tenpin boling kebangsaan, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi yang dinobatkan juara kebangsaan pada Mac disusuli juara Terbuka Malaysia Mei lepas, kini giat menjalani latihan untuk Sukan SEA di Indonesia.

Sekiranya terpilih, ini merupakan penampilan ketiga pemain boling berusia 25 tahun itu pada temasya tersebut.

"Memang ia adalah impian saya untuk beraksi dan menggalas cabaran skuad kebangsaan di Sukan SEA yang akan bermula pada awal November setelah sukan ini tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik," katanya, Isnin.

Zandra Aziela yang kini antara pemain senior, berkata beliau menjalani latihan sejak awal tahun ini bersama enam rakan sepasukan di bawah kendalian jurulatih Holloway Cheah.

"Namun, senarai akhir enam pemain wanita yang terpilih hanya akan diketahui pada Oktober ini setelah jurulatih membuat penilaian terhadap prestasi kami," katanya.

Ditanya mengenai sasaran emas negara pada temasya kali ini, katanya secara peribadi beliau masih tidak meletakkan sebarang sasaran dan mahu perkara itu ditentukan jurulatih pasukan.

"Kita masih mempunyai dua kejohanan sebagai pemanas badan iaitu Kejohanan Wanita Dunia di Hong Kong raya ini, (3-12 Sept) dan Terbuka Kuala Lumpur pada hujung Oktober nanti (22-29 Oktober) sebelum ke Indonesia.

"Daripada kejohanan ini barulah kita akan tahu sejauh mana kemampuan kita untuk menghadapi temasya itu," katanya.

Zandra Aziela merupakan antara pemain muda berbakat yang dilahirkan dari peringkat negeri Selangor sebelum diserap ke dalam kumpulan elit oleh Kongres Tenpin Bowling Malaysia.

Pada Sukan SEA 2007 di Bangkok, Thailand, skuad negara merangkul juara keseluruhan dengan pungutan empat emas menerusi beregu wanita, trio wanita, pasukan wanita dan beregu campuran serta tiga perak dan enam gangsa.

Namun pada Sukan SEA 2009 di Vientianne, Laos, penganjur tidak menyenaraikan sukan tersebut dalam temasya dwi-tahunan itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain