suria

T' Team Pinjam Penjaring Terbanyak Liga Perdana

KUALA TERENGGANU: Penjaring terbanyak Liga Perdana daripada pasukan MP Muar FC, Mohd Fitri Omar adalah antara tiga pemain yang akan memperkuatkan pasukan T'Team dalam menghadapi kempen Piala Malaysia bermula 9 September ini.

Jurulatih T'Team Yunus Alif berkata dua lagi pemain yang akan memperkukuhkan pasukan itu ialah pemain KL Pos Malaysia Mohd Jibrail Kamaron Baharin dan Mohd Faiz Subri dari Perlis.

"Kita pinjam dua pemain penyerang dan seorang penjaga gol bagi melengkapkan pasukan T'Team dalam menghadapi saingan liga berprestij itu," katanya kepada Bernama.

Yunus berkata semua pemain sudah berada di Terengganu kecuali Mohd Faiz Subri kerana pemain itu masih menunggu pelepasan daripada majikannya.

Beliau yakin pasukan T'Team yang mensasarkan membawa pulang Piala Malaysia tahun ini akan bertambah mantap dan cemerlang dengan kehadiran pemain berkenaan.

Yunus berkata tiga pemain Piala Presiden T'Team 2011 disenaraikan untuk membantu pasukan T'Team dalam menghadapi Piala Malaysia, yang cabutan undian dijadual pada 6 Ogos ini.

Pemain berkenaan ialah Kamarul Bahrin Abdullah (tengah), Al-Amin Jusoh pertahanan) dan Khairo Anuar (penjaga gol), memandangkan prestasi cemerlang mereka dalam kejohanan itu.

Yunus berkata penjaga gol utama T'Team, Shamsuri Mustafa terpaksa menjalani pembedahan lutut beberapa hari lepas dan mengambil masa lama untuk sembuh dan bermain semula.

Beliau berkata semua pemain T'Team berada dalam keadaan cergas dan bersemangat untuk mengharungi kejohanan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain