suria

Zamri Tekad Lakukan Yang Terbaik

Zamri mahu perbaiki kedudukan pada perlumbaan Pusingan 3 ARRC PETRONAS di Trek Litar Lumba Madras, Chennai hujung minggu ini.
Zamri mahu perbaiki kedudukan pada perlumbaan Pusingan 3 ARRC PETRONAS di Trek Litar Lumba Madras, Chennai hujung minggu ini.
Zamri mahu perbaiki kedudukan pada perlumbaan Pusingan 3 ARRC PETRONAS di Trek Litar Lumba Madras, Chennai hujung minggu ini.

PELUMBA Petronas Malaysia, Mohd Zamri Baba berjanji bahawa dia akan bertungkus lumus untuk mempamerkan peningkatan menjelang Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS di Trek Litar Lumba Madras, Chennai, minggu ini.

Zamri berharap jurutera teknikal pasukan dapat bertindak dengan lebih agresif agar berupaya menyaingi pelumba-pelumba di barisan hadapan seperti Katsuaki Fujiwara dan M. Fadli dari pasukan Manual-Tech BEET Kawasaki Racing dan bekas rakan sepasukan, Azlan Shah Kamaruzaman (Boon Siew Honda Racing Malaysia) sewaktu di Malaysia (Pusingan 1) dan Indonesia (Pusingan 2).

Pun begitu, Zamri tetap berjaya mengutip mata dalam keempat-empat perlumbaan dan berada di kedudukan keenam keseluruhan dengan mengumpul 37 mata, 63 mata ketinggalan kepada pendahulu, Fujiwara (100 mata) manakala Azlan pula di kedudukan kedua dengan 72 mata diikuti Doni Tata Pradita (Yamaha Indonesia Racing) ketiga, 42 mata.

Zamri berkata, peraturan teknikal baru yang diperkenalkan Promoter Kejuaraan, Two Wheels Motor Racing (TWMR) begitu mencabar dan tidak seperti jangkaan awal jurutera-jurutera pasukan.

Antara perubahan yang dilakukan pada musim 2011 termasuklah perubahan jenis tayar, penggunaan tayar basah, radiator yang lebih besar, quick-shift dan slipper-clutch.

“Peraturan teknikal baru pada musim 2011 bertujuan untuk meningkatkan lagi persaingan dalam SuperSports 600cc.

"Namun malangnya, jurutera pasukan masih gagal untuk memahami sepenuhnya kebebasan yang diberikan dan kami telah menggunakan banyak masa untuk melakukan pelbagai ujian dalam usaha untuk mendapatkan pelarasan terbaik.

"Pasukan-pasukan ternama lain melakukan pelaburan awal dengan mendapatkan khidmat kepakaran luar sebelum saingan musim ini bermula dan ia banyak membantu mereka," katanya.

Bercakap mengenai sasarannya pada perlumbaan minggu ini, pelumba 28 tahun itu berkata,akan mencuba melakukan yang terbaik.

"Saya mempunyai kenangan manis apabila muncul juara sewaktu berlumba di litar yang basah pada tahun lalu.

"Namun saya menjangkakan saingan pada tahun ini semakin sukar. Jika keadaan cuaca sama seperti tahun lalu, ia satu percaturan besar kerana walapun dibekalkan dengan tayar basah namun kami masih belum sempat mengujinya.

"Jadi sasaran utama saya adalah untuk mencuba yang terbaik. Semoga jurutera pasukan dapat menyediakan sebuah jentera dengan pelarasan terbaik dan saya pula sudah bersedia untuk bersaing dengan pelumba-pelumba di hadapan," katanya.

Artikel Lain